COVID-19: Kerajaan beri kelonggaran sektor perladangan dan komoditi

Astro Awani
Mac 19, 2020 12:42 MYT
DR MOHD KHAIRUDDIN: Semua pihak yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan tersebut hendaklah memastikan segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak COVID-19 dipatuhi. - Gambar BERNAMA
Kerajaan hari ini memberi kelonggaran kepada sektor perladangan dan komoditi untuk membenarkan penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ia termasuk membenarkan pemprosesan buah tandan segar dilaksanakan oleh kilang-kilang sawit.
"Kerajaan turut membenarkan pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.
"Selain itu aktiviti penorehan getah bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter juga dibenarkan.
"Ia juga kebenaran untuk aktiviti bagi sektor perkayuan beroperasi untuk memenuhi kontrak sedia ada yang telah dimeterai," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Jelasnya, langkah itu dilakukan untuk memastikan bekalan mencukupi setelah mendapat panduan umum Kabinet yang bermesyuarat pada Rabu serta pengesahan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dr Mohd Khairuddin menjelaskan kementeriannya turut sedar bahawa perintah itu akan memberi implikasi yang besar kepada sektor perladangan dan komoditi khususnya pekebun kecil sawit dan getah.
"Kementerian juga mengambil maklum akan kepentingan industri sawit dan getah yang menyumbang kepada rantaian bekalan berkaitan penyediaan perkhidmatan perlu seperti pembekalan minyak masak dan pembekalan peralatan perubatan seperti sarung tangan (gloves) dan kateter (catheter)," jelasnya.
Katanya lagi, semua pihak yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan tersebut hendaklah memastikan segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak COVID-19 dipatuhi.
"Ia termasuk meminimumkan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjarakkan sentuhan fizikal (social distancing) dan pulang segera ke rumah atau penempatan setelah selesai bekerja.
"Semua pihak diingatkan sentiasa menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan sabun atau pencuci tangan (hand sanitiser)," ujarnya.
Kerajaan sebelum ini mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 hingga 31 Mac 2020.
Ia sebagai usaha kerajaan dalam membendung penyebaran wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.
#COVID-19 #kilang sawit #Majlis Keselamatan Negara #Mohd Khairuddin Aman Razali #pekebun #pekebun kecil sawit #peralatan perubatan #Sektor Perladangan
;