COVID-19: Kerajaan akan tetapkan harga siling bagi RT-PCR, RTK-Antigen - Dr Adham Baba

Firdaus Azil
Februari 14, 2021 08:49 MYT
Di bawah Ordinan Darurat, Dr Adham berkata, kerajaan akan terus memastikan ujian saringan mudah dilakukan melalui sektor swasta dan kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan kawalan harga terhadap kit ujian RT-PCR dan RTK-Antigen yang dijual melalui sektor swasta, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dalam temubual khas bersama portal kesihatan CodeBlue baru-baru ini, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, kerajaan juga telah memutuskan untuk meluaskan lagi program saringan COVID-19 di fasiliti milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya lagi, kementerian telah memutuskan harga ujian ialah RM150 bagi RT-PCR, dan RM60 untuk RTK-Antigen bagi mereka yang memilih untuk melakukan saringan melalui fasiliti kerajaan.
“Bagaimanapun, ujian saringan melalui fasiliti kerajaan tetap percuma bagi mereka yang dikenal pasti pegawai KKM sebagai kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
“Di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, kami akan terus memastikan ujian saringan mudah dilakukan, sama ada melalui sektor kerajaan, mahupun swasta,” katanya dalam temubual yang berlangsung Rabu lepas.

Putrajaya To Set Price Caps On Covid-19 Tests, MOH Expanding Testing MOH will also offer RT-PCR tests at RM150 and antigen RTK at RM60 for anyone who wants to get tested; however, screening remains free for close contacts identified during outbreaks.https://t.co/hRUfhk0LfT

— Boo Su-Lyn (@boosulyn) February 14, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam satu sesi dialog bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Februari lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, Perdana Menteri boleh menggunakan kuasa di bawah peruntukan ordinan untuk perkara yang lebih membantu rakyat.
Selain menyumberluar keperluan kesihatan awam kepada sektor swasta, beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga boleh menetapkan harga siling untuk ujian saringan supaya tidak terlalu membebankan rakyat.
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. Klik di sini.
BACA: PM masih tidak jelaskan mengapa perlu gantung Parlimen, DUN - Anwar
Mengulas lanjut kepada portal berkenaan, Dr Adham berkata, penetapan harga siling bagi kit ujian berkenaan masih sedang dalam perbincangan.
“Kami sedang menentukan harga. Ada beberapa parameter yang mempengaruhi faktor harga - ada di antaranya merupakan itemised (pecahan harga), ada juga yang mendapat bekalan dengan harga tinggi daripada pelbagai sumber,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Adham mendedahkan, KKM sedang meneroka kaedah ujian saringan baharu, selain kaedah konvensional yang memerlukan kit ujian dimasukkan ke saluran pernafasan melalui hidung dan anak tekak.
Buat masa ini, beliau berkata, ia dikenali sebagai “deep-throat saliva”, iaitu pengambilan sampel air liur yang terhasil di dalam anak tekak.
#Dr Adham Baba #Menteri Kesihatan #harga siling #COVID-19 #rT-PCR #RTK-Antigen #codeblue #Kementerian Kesihatan #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Parlimen #ujian saringan #gantung parlimen #KKM #WHO #kesihatan #rakyat