COVID-19: Kepatuhan rakyat Kelantan terhadap SOP semakin terhakis - CPO
Muhafandi Muhamad
Januari 15, 2021 17:54 MYT
Januari 15, 2021 17:54 MYT
PASIR PUTEH: Tahap kepatuhan sebahagian besar rakyat Kelantan terhadap amalan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengurangkan risiko penularan COVID-19 semakin terhakis, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Beliau berkata, kebanyakan rakyat di negeri itu seolah-olah alpa dengan pandemik yang sedang melanda yang menyaksikan semua daerah di Kelantan dikategorikan sebagai zon merah.
Malah, keadaan itu memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa esok sehingga 26 Januari.
"Kalau kita tengok kenapa Kelantan ini cepat merebak (COVID-19) dalam tempoh terdekat... kerana budaya ziarah-menziarahi, kenduri kahwin... masih ada bersalaman dan berpelukan...
"Sepatutnya budaya ini dihentikan (untuk sementara) kita letak tangan di dada (menggantikan bersalaman)... kita tak tahu (siapa yang sudah dijangkiti).
"Nasihat kita... boleh jumpa tapi jangan bersentuhan, patuhi SOP... (malangnya) ada sesetengah rakyat kita bawa mask (pelitup muka) tapi letak dalam poket (tak pakai)," katanya di sini, hari ini.
Shafien berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya di Bukit Yong, Pasir Puteh, sempadan Kelantan-Terengganu.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tempoh semalam dan hari ini, sejumlah 71 kompaun telah dikeluarkan ke atas mereka yang melanggar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka.
PKP di seluruh Kelantan bermula 16 hingga 26 Jan 2021
Katanya sejumlah 50 kenderaan diarah berpatah balik pada 13 Januari dan 34 buah semalam, dengan jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan sebanyak 1,552 buah pada 13 Januari manakala 3,315 direkodkan semalam.
Beliau berkata, laluan tikus di sempadan Terengganu dan Kelantan serta Jeli-Gerik turut diawasi dengan ketat oleh pihaknya.
#Kelantan
#zon merah
#PKP
#kepatuhan
#SOP
#norma baharu
#terhakis
#Ketua Polis Kelantan
#Shafien Mamat
#rakyat kelantan