COVID-19: Kepadatan penduduk antara punca kes tinggi di Lembah Klang - Dr Malina

Astro Awani
November 18, 2020 09:11 MYT
Dr Malina mencadangkan supaya pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengawal selia pekerja dari segi kepatuhan SOP di kawasan-kawasan yang mempunyai kluster binaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kepadatan penduduk tertinggi, iaitu 6.3 juta, menyumbang kepada pertambahan kes positif COVID-19 baharu di kawasan sekitar Lembah Klang akhir-akhir ini.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman menegaskan, faktor itu menjadikan kes di Lembah Klang lebih tinggi berbanding Sabah.
"Di Selangor, yang mempunyai penduduk antara yang tertinggi di Semenanjung, kita ada 6.3 juta keseluruhannya.
"Di Petaling sahaja, yang menempatkan Damansara dan tempat-tempat lain yang terdapat ramai kluster selama ini, mempunyai 2.3 juta penduduk.
"Berbanding Sabah, yang mempunyai 3.2 juta atau 3.3 juta penduduk sahaja," katanya ketika dihubungi melalui sidang Skype hari ini.
Dr Malina berkata, faktor kepadatan penduduk ini memberikan persepsi berhubung kesukaran pelaksanaan sepenuhnya kawalan yang berteraskan penguatkuasaan.
"Dari segi kesihatan awam, penglibatan masyarakat dalam melaksanakan komitmen terhadap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sangat diharapkan," katanya.
Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini.
Tambahnya, beliau pernah mencadangkan sebelum ini supaya agensi-agensi berkenaan mengadakan pasukan petugas khas yang mengawal selia pekerja dari segi kepatuhan SOP di Kuala Lumpur, atau di tempat yang mempunyai kluster-kluster binaan.
"Tidak dapat tidak, kita tahu, penempatan yang menempatkan pekerja-pekerja ini terdedah kepada potensi tularan.
"Sekiranya kita dapat mengambil kira langkah-langkah pencegahan yang dapat dilaksanakan, saya yakin perkara-perkara ini dapat dikawal," katanya.
BACA: COVID-19: Malaysia catat kes baharu empat digit lima hari berturut-turut
BACA: COVID-19: 5 kluster baharu dikenal pasti, 5 kluster tamat
BACA: PKPB Lembah Klang bukan kegagalan - KP Kesihatan
Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, negeri di sekitar Lembah Klang merekodkan 518 kes positif baharu.
Ia sekali gus mencatatkan kes positif harian empat digit untuk tempoh lima hari berturut-turut dengan 1,210 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara 49,730 kes.
Dalam pada itu kata Dr Malina, paling penting adalah memberi keutamaan kepada peruntukan kewangan untuk melakukan lebih banyak saringan.
Jelasnya, masyarakat kini masih terdedah dengan COVID-19 sebelum pemberian vaksin yang akan memberi perlindungan kepada semua dapat direalisasikan kelak.
#Noor Hisham Abdullah #SOP #COVID-19 #kes positif #Klang #Sains
;