COVID-19: Kenaikan kes di Singapura tidak halang usaha buka sempadan - Hasni
Bernama
Oktober 4, 2021 05:15 MYT
Oktober 4, 2021 05:15 MYT
JOHOR BAHRU: Kenaikan kes positif COVID-19 di Singapura tidak menjadi penghalang kepada usaha perbincangan republik itu dengan Malaysia berhubung pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata ini kerana kedua-dua negara sedang melakukan persediaan termasuk Singapura yang membekalkan kit ujian COVID-19 kepada setiap keluarga selain mempertimbang pemberian dos ketiga vaksin.
"Kenaikan kes di Singapura tidak nampak akan menjadi penghalang kepada usaha kita untuk berbincang.
"Dahulu ketika Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) ditangguhkan adalah kerana kita sedang menunggu kaedah untuk mendepani COVID-19.
"Namun kini kita sudah ada vaksin dan Singapura juga telah memikirkan dos ketiga dan sebagainya... jadi ia tidak akan jadi penghalang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Virtual Majestic Johor Tourism Week 2021 dan Pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI) di sini pada Isnin.
Pada 2 Okt lepas, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Hasni berbincang dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik ke negara jiran itu kerana bekerja.
Hasni juga berkata jawatankuasa teknikal pembukaan sempadan Malaysia-Singapura telah bersetuju dengan prosedur operasi standard yang dicadangkan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan, yang berperanan sebagai sekretariat kepada barisan Menteri Kanan, akan menetapkan tarikh untuk pembentangan sebelum mengadakan perbincangan lanjut bersama Singapura.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), katanya Perdana Menteri bersetuju memasukkan projek pelebaran lebuh raya dari Yong Peng ke Johor Bahru sebagai antara program pembangunan infrastruktur dalam RMK12.
Hasni berkata bagi merancakkan lagi pelancongan domestik, kerajaan negeri telah bersetuju memperuntuk sebanyak RM1.5 juta dalam bentuk baucar untuk diberikan kepada pelancong yang datang ke negeri itu menerusi aplikasi JTI, yang dilancarkan hari ini.
"Menerusi aplikasi ini, pelancong yang datang akan mendapat manfaat dengan potongan atau galakan produk sektor pelancongan kita," katanya.
Aplikasi JTI direka khas dengan memaparkan tarikan pelancong dan kemudahan yang disediakan di negeri itu termasuk penerangan lokasi menarik, sistem navigasi dan galeri gambar tempat ikonik di Johor.
-- BERNAMA