COVID-19: Kementerian Pertahanan percepatkan bayaran insentif kepada veteran ATM
Fauzi Suhaimi
Mac 25, 2020 15:33 MYT
Mac 25, 2020 15:33 MYT
Kementerian Pertahanan akan mempercepatkan bayaran insentif kepada veteran Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran berkenaan membabitkan tiga jenis pembayaran iaitu Kutipan Jalanan dan Matching Grant serta insentif, bayaran elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Skim Bantuan Kebajikan iaitu Bantuan Sara Hidup.
"Pada akhir bulan ini, sebanyak 74 Persatuan Veteran ATM akan menerima semula dana Kutipan Jalanan termasuk Matching Grant serta insentif bagi persatuan veteran ATM yang layak ini melibatkan pengagihan dana Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM5.3 juta.
"Pembayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi fasa pertama telah selesai dilaksanakan pada 12 Mac 2020 melibatkan pembayaran kepada 30,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM15 juta. Pembayaran bagi fasa kedua telah dirancangkan pada bulan April 2020.
"Bagaimanapun, demi meringankan bebanan Veteran ATM susulan pengumuman arahan PKP kita bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran fasa kedua elaun ini sebanyak RM500 secara one-off (sekali bayaran) pada minggu akhir bulan Mac 2020 kepada 40,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM 20 juta.
"Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 mulai 1 April secara bulanan kepada 4,800 penerima yang layak dan telah memenuhi syarat," katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Rabu.
Ismail Sabri berharap, semua agihan semula dana berkenaan dapat digunakan sepenuhnya bagi tujuan kebajikan veteran ATM yang memerlukan di seluruh negara.
"Diingatkan juga kepada Persatuan-Persatuan Veteran ATM agar dana ini hendaklah disalurkan kepada Veteran-Veteran ATM serta tanggungan yang layak dan memerlukan.
"Pemantauan akan dilaksanakan dalam memastikan dana ini diagihkan kepada veteran ATM yang layak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM," ujarnya.