COVID-19: Kembali tingkatkan kawalan kendiri, elak peningkatan jangkitan - Pakar
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 9, 2022 17:41 MYT
Julai 9, 2022 17:41 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik keterujaan meraikan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok, turut tercetus kebimbangan terhadap jumlah jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin, trend peningkatan itu sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut membabitkan banyak negara lain.
Malah jelasnya, ancaman varian terbaharu Omicron memaksa beberapa negara memperketatkan semula Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP) bagi mengawal peningkatan jangkitan.
“Ia bukan sahaja fenomena yang berlaku di Malaysia malah juga di seluruh dunia. Kalau kita dapat baca beberapa laporan akhbar juga menyatakan beberapa negara seperti di Eropah, China dan Taiwan juga sudah mula memperketatkan semula SOP masing-masing.
“Ini perlu diberi perhatian khusus dan kita esok akan meraikan Aidiladha, jadi ini juga merupakan salah satu kebimbangan yang perlu diberi perhatian,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya lagi, ancaman baharu subvarian Omicron daripada BA.2 dan BA.5 telah dikenal pasti menjadi punca peningkatan kes di seluruh dunia.
Ia berdasarkan daripada laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang juga mengakui ia adalah jenis varian yang sukar dikesan dan mudah berjangkit.
“Ia masih lagi boleh dikawal dan dirawat melalui vaksinasi sedia ada dan juga ubat-ubatan antiviral yang digunakan dalam negara ini," jelasnya
Bagaimanapun, katanya, cara yang paling berkesan setakat ini ialah dengan meningkatkan kembali disiplin kendiri dalam menangani isu peningkatan jangkitan.
Orang ramai juga, katanya, perlu mematuhi SOP dan peraturan yang sedia ada yang ditetapkan.
Malah, beliau turut mencadangkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing bersempena Aidiladha esok agar melakukan ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 terlebih dahulu.
“Ia perlu berdisiplin, kalua kita dapati positif maka perlulah bersabar lakukanlah kuarantin kendiri. Jangan terus juga balik walau dah positif. SOP asas seperti pelitup muka juga perlu sentiasa dipakai," katanya lagi.
Orang ramai juga katanya perlu tahu bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi terpakai ketika ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ia perlu dilaksanakan secara komprehensif.
Ia katanya mampu mengurangkan tahap peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 yang berlaku ketika ini.