COVID-19: Kematian ketiga dalam kalangan anggota KKM, 90 kes pulih

Hasimi Muhamad
April 23, 2020 09:55 MYT
Menurut Dr Noor Hisham, statistik terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-18 meningkat kepada 95 kes atau 1.7 peratus.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian ketiga membabitkan anggota kesihatan kementerian, sekali gus menjadikan dua lagi kematian baharu direkodkan di negara ini setakat Khamis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-18 meningkat kepada 95 kes atau 1.7 peratus.
“Kes kematian ke-94 (kes ke-3871) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.
“Beliau merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-3662 (yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor).
“Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020 jam 12.36 tengah malam.
“(Sementara) Kes kematian ke-95 (kes ke-4129) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.
“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali).
“Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 11.48 malam,” katanya dalam sidang media harian, di sini hari ini.
Dalam pada itu, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari jangkitan COVID-19 terus meningkat kepada 3,542 kes apabila terdapat pertambahan sebanyak 90 kes pada Khamis.
Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan peratusan jumlah keseluruhan yang pulih dan dibenarkan discaj adalah 63.2 peratus.
Sementara itu, 71 kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 5,603.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,966 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, seramai 42 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 21 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #kesihatan #koronavirus #Malaysia #Media #meninggal dunia #Noor Hisham Abdullah