COVID-19: Kelonggaran SOP bukan satu titik akhir perjalanan
Ts Mohd Soffian Osman
Mei 4, 2022 12:45 MYT
Mei 4, 2022 12:45 MYT
KERAJAAN telah mengumumkan pelbagai kelonggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mengawal dan mengekang penularan wabak COVID-19 terutamanya bermula 1 April yang lalu apabila negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.
Malahan, pengumuman oleh Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan pada 27 April lepas menyaksikan beberapa teras utama protokol kesihatan awam yang sebelum ini diwajibkan dan diwartakan telah ditarik semula bermula 1 Mei.
Antaranya, pemakaian pelitup muka yang dahulunya diwajibkan di tempat awam bermula 1 Ogos 2020, kini hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan (indoor) dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-hailing sahaja.
Begitu juga dengan penjarakan fizikal pada jarak 1 meter di antara individu tidak lagi diperlukan berikutan kebenaran penggunaan 100 peratus kapasiti ruang untuk semua aktiviti ekonomi dan sosial.
Bukan itu sahaja, bahkan aktiviti bersalaman yang telah menjadi budaya dalam masyarakat Malaysia turut dibenarkan.
Selain itu, aktiviti mengimbas kod QR MySejahtera apabila memasuki mana-mana premis yang dahulunya bertujuan untuk pengesanan kontak, sudah tidak lagi menjadi satu keperluan.
Pengumuman tersebut disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat dan dikatakan satu keputusan yang tepat khususnya apabila ia dibuat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Namun begitu, semua kelonggaran ini bukanlah titik akhir sebuah perjalanan, sebaliknya ia merupakan satu permulaan dalam perjuangan sebenar menentang COVID-19 dalam kalangan masyarakat itu sendiri.
Hal ini kerana, musuh yang tidak kelihatan dan sedang kita depani ini masih berlegar di sekitar kita, dan lebih membimbangkan ia terus berevolusi dengan penemuan varian-varian baru yang lebih cepat merebak (super spreader) serta lebih mudah menjangkiti.
Dalam masa yang sama, bermula 1 Mei semua langkah bagi mengelakkan dari dijangkiti virus ini terletak sepenuhnya di tangan masing-masing.
Sebagai contoh, dengan pewartaan undang-undang pemakaian pelitup muka sebelum ini adalah wajib di semua tempat awam. Dalam erti kata yang lain, mahu tidak mahu semua orang perlu memakai pelitup muka bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan kepada mereka.
Tetapi kini, pemakaian pelitup muka bagi tempat awam kategori kawasan terbuka dan luar bangunan (outdoor) hanya digalakkan dan menjadi pilihan untuk dilaksanakan.
Sekalipun kelonggaran telah diberikan, pastikan anda telah membuat penilaian risiko yang betul dan terbaik sebelum mengambil sebarang keputusan untuk meninggalkan semua norma baharu yang telah dididik sepanjang tempoh dua tahun yang lalu agar kita dapat bersama mengawal dan mengekang virus ini dari terus merebak.
Sentiasa amalkan pemakaian pelitup muka terutamanya apabila bergejala dan berada di kawasan yang sesak, pastikan jarak fizikal yang selamat terutamanya apabila tidak memakai pelitup muka dan sentiasa cuci tangan menggunakan pensanitasi tangan atau sabun apabila bersentuhan dengan individu yang lain.
Bagi pemilik premis pula, pastikan kitaran udara (pengudaraan) dalam premis yang baik dan mencukupi, sentiasa melakukan aktiviti santiasi pada kawasan yang kerap disentuh oleh orang ramai dan sediakan kemudahan pencuci tangan yang mencukupi untuk semua pengunjung.
Bersama kita memainkan peranan yang lebih baik melalui kawalan kendiri (self regulation) yang berterusan dan berkesan.
Selamat Hari Pekerja dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.
* Penulis adalah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.