COVID-19: Kelompangan SOP punca kes, kluster meningkat - Pakar kesihatan
Isabelle Leong
Januari 4, 2021 14:18 MYT
Januari 4, 2021 14:18 MYT
KUALA LUMPUR: Perbezaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di institusi yang berbeza menjadi punca berlakunya peningkatan kes dan kluster berkaitan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata biarpun terdapat SOP yang perlu diikut, namun terdapat kelompangan dalam penguatkuasaannya.
“Kami menyaksikan perbezaan pelaksanaan SOP seperti di masjid, pusat beli-belah, institusi pejabat dan sebagainya berbanding pelaksanaan SOP apabila terdapat satu perhimpunan dalam peringkat masyarakat atau perjumpaan sosial.
“Bagaimanapun, siapa yang hendak melaksanakan SOP itu?
“Untuk itu, kami mendapati terdapat banyak kelompangan atau keadaan-keadaan di mana kami tidak dapat menampung apabila sesuatu perkumpulan dilaksanakan tanpa melihat langsung kepada SOP,” kata Dr Malina dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Isnin.
Katanya, pada sesuatu majlis ketika waktu perayaan, penguatkuasaaan SOP itu terpulang kepada masing-masing bagaimana mereka hendak melaksanakannya.
“Di pusat beli-belah, kami lihat kadangkala penjarakan fizikal tidak diamalkan tetapi berbeza, kerana kami tidak kenal antara satu sama lain.
“Namun, pada perjumpaan sosial, kami kenal, kadangkala rapat dan sebagainya.
“Kami hanya ada kemampuan untuk memperkasakan setiap seorang untuk melaksanakan SOP yang dicadangkan, tetapi dari segi penguatkuasaan itu, terpulang masing-masing bagaimana hendak melaksanakannya,”
Justeru, katanya, keadaan tersebut menyebabkan berlakunya kelekaaan sehingga mencetuskan kes-kes dan kluster COVID-19 baharu.