COVID-19: Kelantan batal penganjuran acara libatkan orang luar
Muhafandi Muhamad
Oktober 21, 2020 17:19 MYT
Oktober 21, 2020 17:19 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengambil keputusan melarang sebarang penganjuran acara melibatkan individu dari luar negeri itu akibat peningkatan kes COVID-19.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, surat arahan mengenai perkara berkenaan belum dikeluarkan.
Katanya, beberapa acara besar termasuk sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan persidangan berkaitan buluh dan Gaharu yang melibatkan individu dari luar Kelantan terpaksa dibatalkan.
"Kerajaan negeri ada program yang kita teruskan tetapi yang melibatkan orang luar dari Kelantan kita akan batalkan.
"Ada dua atau tiga acara besar seperti persidangan buluh dan gaharu, yang mana pihak kementerian telah bersetuju untuk batalkan acara ini dan tangguhkan sambutan Hari Alam Sekitar yang melibatkan mereka dari luar Kelantan.
"Acara Hari Alam Sekitar kita buat Jumaat ini secara tertutup dengan kehadiran mereka yang terpilih," katanya.
Mohd Amar memberitahu, pada Selasa terdapat satu kes jangkitan COVID-19 yang dikesan membabitkan seorang yang baharu pulang dari Shah Alam, Selangor.
Sepanjang bulan lalu, Kelantan tidak mencatat sebarang kes COVID-19.
Pada masa sama, Mohd Amar meminta rakyat Kelantan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
#Mohd Amar Nik Abdullah
#COVID-19
#Hari Alam Sekitar
#penganjuran acara
#shah alam
#Kelantan
#peningkatan kes COVID-19