COVID-19: Kekal satu digit, hanya tiga kes baharu hari ini
Harits Asyraf Hasnan
Julai 2, 2020 17:32 MYT
Julai 2, 2020 17:32 MYT
Sejumlah tiga kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 8,643 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam masa sama berkata, terdapat 62 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.
"Ingin dimaklumkan daripada tiga kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Beliau merupakan warganegara Malaysia.
"Kedua-dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, dua kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah masing-masing satu bagi Kluster Bukit Bintang dan satu lagi kes saringan kes baharu masuk ke lokap di Kota Kinabalu.
Menurutnya, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini sekaligus kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 121 kes.
Selain itu, sehingga kini, terdapat dua kes positif yang sedang dirawat di unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.
#Bukit Bintang
#COVID19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#ICU
#kes positif
#kesihatan
#koronavirus
#Noor Hisham Abdullah
#PKP
#unit rawatan rapi