COVID-19: Kejayaan Malaysia atas usaha sendiri - Ismail Sabri
Fauzi Suhaimi
Mac 3, 2021 07:00 MYT
Mac 3, 2021 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia melandaikan keluk jangkitan COVID-19 sehingga pernah mencapai sifar jangkitan tiga hari berturut-turut adalah atas usaha berterusan semua pihak khususnya seluruh rakyat di negara ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kejayaan itu adalah hasil inisiatif kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
Malah, katanya, perkara itu tidak merujuk mana-mana model negara lain yang berusaha mengawal jangkitan virus itu.
"Kita pernah berjaya dalam memerangi COVID-19.
"Sebenarnya, apa yang dilakukan Malaysia adalah tidak mengikut mana-mana model negara lain. Ia adalah usaha kita sendiri.
"Ini kerana, tidak sampai dua minggu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dan barisan Jemaah Menteri mengangkat sumpah, kita isytiharkan pelaksanaan PKP.
"Waktu itu, tidak ada negara di dunia boleh dijadikan contoh sebab semua negara sedang bergelut dengan pandemik ini," katanya dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Malaysia juga pernah tersenarai lima negara terbaik dunia dalam mengawal pandemik COVID-19.
"Dengan pelaksanaan PKP, kita jadi salah satu lima negara terbaik dunia dalam mengawal penularan jangkitan.
"Usaha yang dibuat ini adalah berdasarkan inisiatif kita sendiri dan pada saya kita pernah berjaya sehingga status PKP boleh ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) suatu ketika dahulu," katanya.
#COVID-19
#Pelaksanaan PKP
#perintah kawalan pergerakan
#pandemik
#ismail sabri yaakob
#landai keluk jangkitan
#inisiatif kerajaan
#Kejayaan Malaysia atas usaha sendiri
#Setahun Malaysia Prihatin