COVID-19: Kebolehpasaran graduan politeknik turun kepada 91.4 peratus pada 2020

Hasimi Muhamad
September 21, 2021 10:58 MYT
NORAINI: KPT akan memperluaskan penawaran dalam sarjana muda di politeknik melalui work-based learning (WBL) di politeknik premier. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini kebolehpasaran graduan politeknik pada 2020 menunjukkan sedikit penurunan kepada 91.4 peratus berikutan cabaran wabak COVID-19.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, berbanding 2018 dan 2019, kebolehpasaran graduan daripada institusi tersebut adalah masing-masing 96.1 dan 96.7 peratus.
Bagaimanapun, katanya, tahap kebolehpasaran graduan dalam tempoh lima tahun masih melebihi 90 peratus.
"Dalam mengembangkan pendidikan politeknik, kolaborasi rentas kementerian bersama pihak industri telah diperkukuh melalui Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.
"Urus setia Majlis TVET Negara ialah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri.
"Memang betul KPT akan memperluaskan penawaran dalam sarjana muda di politeknik melalui work-based learning (WBL) di politeknik premier," katanya.
Noraini berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP-Batu Gajah) pada pada sesi Pertanyaan Menteri.
Terdahulu, Sivakumar bertanya mengenai peluang pendidikan tinggi yang disediakan, terutamanya ke universiti-universiti awam, bagi lepasan diploma daripada politeknik-politeknik tempatan.
Menjawab pertanyaan tersebut, Noraini berkata, seramai 7,652 calon lepasan politeknik telah memohon dan layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam pada sesi akademik 2021/2022.
"Daripada jumlah tersebut 5,103 atau 67 peratus telah ditawarkan tempat pengajian. Bilangan ini menunjukan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 4,445 daripada 7,175 calon pada sesi akademik 2020/2021.
"Daripada analisa KPT, calon tidak ditawarkan tempat mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya persaingan sengit antara pelajar diploma, asasi, matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk mendapatkan tempat di IPTA.
"Selain itu, tidak berjaya semasa sesi temu duga yang dijalankan secara bersemuka atau secara dalam talian, dan yang ketiga memilih program yang sangat kompetitif dengan penyertaan yang tinggi, akan mengehadkan peluang calon untuk mendapatkan tempat.
"Keempat pula, tempat yang ditawarkan bidang pengajian adalah terhad," katanya.
#COVID-19 #noraini ahmad #kebolehpasaran graduan #politeknik
;