COVID-19: Kebanyakan kematian lewat terima rawatan Dr Noor Hisham

Bernama
Mac 24, 2020 22:49 MYT
Segera ke hospital sekiranya terdapat gejala COVID-19, nasihat Ketua Pengarah Kesihatan kepada seluruh rakyat Malaysia. - Gambar hiasan
Kebanyakan kematian berkaitan COVID-19 di negara ini berikutan lewat menerima rawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, terdapat lima peringkat jangkitan COVID-19 tetapi kebanyakan mereka datang ke hospital ketika mereka sudah berada di peringkat ketiga.
"Peringkat pertama ialah apabila seseorang itu asimptomatik (tidak menunjukkan gejala) tetapi positif, manakala peringkat kedua adalah positif dengan gejala ringan dan peringkat ketiga apabila pesakit mempunyai masalah pneumonia tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen.
"Peringkat keempat, pesakit memerlukan terapi oksigen dan peringkat terakhir (peringkat kelima) apabila pesakit tidak boleh bernafas dengan baik dan kita perlu intubat (memasukkan tiub) dan menggunakan ventilator," katanya dalam taklimat media hari ini.
Dr Noor Hisham juga menjelaskan kebanyakan pesakit pada peringkat keempat, kesihatan mereka cepat merosot dan akan mudah berada di peringkat kelima.
Contohnya kematian terbaharu, pesakit telah mengalami kesukaran bernafas tiga hari yang lepas, katanya.
#asimptomatik #bantuan oksigen #COVID19 #intubat #peringkat jangkitan #pneumonia #ventilator
;