COVID-19: Keadaan di Sabah terkawal, keperluan dan peralatan juga mencukupi
Nickyson Nyambar
Februari 8, 2022 20:08 MYT
Februari 8, 2022 20:08 MYT
KUALA LUMPUR : Situasi COVID-19 di Sabah berada dalam keadaan terkawal meskipun angka COVID-19 di negeri itu melebihi angka 2,000 kes dengan 2,069 kes baharu direkodkan pada Selasa.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, fasiliti kesihatan termasuk hospital di negeri itu telah dimaklumkan untuk bersiap siaga menampung peningkatan kes di negeri itu sejak dua minggu yang lalu.
Ini termasuk dari segi sumber dan peralatan kesihatannya.
"Pada masa ini, memang kita dapat melihat bahawa banyak kemasukan kes-kes ke hospital bagi kes COVID-19.
"Walau bagaimanapun, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) berada dalam keadaan stabil. Maksudnya, tidak ada peningkatan ketara.
"Dari segi kesiap siagaan, JKNS telah mengadakan mesyuarat dalam dua minggu lepas bersama semua hospital-hospital dan fasiliti kesihatan di Sabah untuk memastikan segalanya berada dalam keadaan bersedia.
"Pada masa ini, dari segi sumber dan peralatan masih lagi mencukupi untuk menampung peningkatan kes di sini," katanya ketika dihubungi AWANI Borneo hari ini.
Malah, ujar beliau lagi, Kerajaan Negeri Sabah terus berusaha meningkatkan pemberian vaksin serta pendidikan kesihatan buat komuniti di negeri tersebut.
Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan negeri itu mencatatkan 2,069 kes baharu.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata, Kota Kinabalu mencatatkan pertambahan dengan 395 kes dilaporkan hari ini.
"Daerah-daerah lain yang mencatatkan pertambahan termasuk Tuaran (192), Papar dan Penampang (161), Lahad Datu (137) dan Tawau (113).
"Sebanyak 99.37 peratus kes yang dicatatkan hari ini berada dalam kategori satu dan dua," jelasnya menerusi perkongsian di laman Twitter pada Selasa.