COVID-19: Kawalan di sempadan, pintu masuk perlu diperketat - KP Kesihatan

Bernama
April 6, 2020 23:38 MYT
KKM bekerjasama rapat dengan ATM berhubung perkara itu dan langkah itu telah dibincangkan dalam mesyuarat MKN minggu lepas. Gambar fail/BERNAMA
Perketat kawalan keselamatan di semua pintu masuk dan sempadan perlu dilakukan untuk mengekang penularan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung perkara itu dan langkah itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu lepas.
"Kami akan memastikan (kawalan keselamatan) pintu masuk utama negara, misalnya lapangan terbang dan juga sempadan diperketat dan ATM memberi jaminan kepada kami bahawa kawalan di semua pintu masuk sudah diperketat.
"Itulah yang kami lakukan sejak seminggu lepas. Tetapi lebih penting adalah mereka yang pulang dari luar negara, kami telah asingkan mereka, iaitu kami telah kuarantin mereka dari 3 April," katanya dalam sidang akhbar harian mengenai COVID-19 di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sebelum ini, kerajaan membenarkan mereka yang pulang dari luar negara dikuarantin di rumah tetapi kini semua yang pulang ke tanah air akan ditempatkan di pusat kuarantin dan hotel.
Ditanya mengenai 202 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya ditahan di Langkawi semalam, Dr Noor Hisham berkata pihaknya sedang menjalankan ujian saringan ke atas mereka.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #COVID-19 #kawalan keselamatan #Kementerian Kesihatan #KKM #Majlis Keselamatan Negara #MKN #pintu masuk negara #sempadan
;