COVID-19: Karnival Bandaraya Seremban 2020 ditangguhkan
Bernama
Mac 10, 2020 16:05 MYT
Mac 10, 2020 16:05 MYT
Penganjuran Karnival Bandaraya Seremban 2020 sempena pengisytiharan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya berkata, langkah itu diambil bagi mengelak penularan COVID-19.
"Karnival yang dijadualkan berlangsung di Padang MBS ditangguhkan atas nasihat dan pandangan pelbagai pihak.
"Sebagai mana kita semua maklum, pada masa sekarang kita berada dalam keadaan berjaga-jaga dan aktiviti keramaian pada masa ini adalah tidak digalakkan disebabkan penularan wabak COVID-19 di negara ini," katanya pada sidang media di Wisma MBS di sini, pada Selasa. -BERNAMA