COVID-19: Kapal persiaran berlabuh di China tidak dibenarkan masuk Malaysia - TPM
Hasimi Muhamad
Februari 16, 2020 16:43 MYT
Februari 16, 2020 16:43 MYT
Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di negara China daripada memasuki Malaysia.
Ia susulan seorang wanita warga Amerika (AS), yang juga penumpang dari kapal persiapan mewah MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja pada Khamis lalu disahkan positif koronavirus (COVID-19) ketika memasuki Malaysia pada Sabtu.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesemua penumpang kapal berkenaan dikategorikan sebagai kontak rapat.
“Seterusnya baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Kemboja adalah tidak dibenarkan memasuki Malaysia mengambil kira semua penumpang tersebut adalah kontak rapat kes yang disahkan positif terdahulu,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, pada Ahad.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad.
Mengulas lanjut Dr Wan Azizah berkata, aktiviti pengesanan kontak rapat di peringkat antarabangsa telah dijalankan serta-merta terhadap 145 penumpang kapal persiaran tersebut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Februari lalu.
Aktiviti tersebut, jelas Wan Azizah melibatkan komunikasi di peringkat Malaysia International Health Regulations (IHR) dengan National IHR Focus Points dari negara-negara lain yang terlibat.
Katanya, melalui komunikasi tersebut, maklumat ringkas mengenai setiap penumpang terlibat akan disalurkan kepada IHR negara masing-masing.
“Maklumat tersebut akan digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan negara terlibat untuk menyusuli dan menjejaki para penumpang tersebut sebaik mereka tiga di destinasi.
“Tidak terkecuali, komunikasi dengan National IHR Focus Points Combodia turut dilaksanakan. Ini bagi membolehkan tindakan kawalan dan pencegahan yang berkesan dilaksanakan di peringkat mereka sebagai negara yang menjadi tempat kapal tersebut berlabuh,” ujarnya.
Justeru katanya, Malaysia akan terus memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi penularan COVID-19 di negara ini.
#China
#coronavirus
#COVID-19
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#kapal persiaran
#Kemboja
#Kementerian Kesihatan
#KLIA
#koronavirus
#MS Westerdam
#Timbalan Perdana Menteri
#Wan Azizah Wan Ismail