COVID-19: Kalimantan Barat rayu Sarawak bantu bekalkan oksigen

Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 22, 2021 14:09 MYT
Orang awam menunggu giliran di sebuah syarikat pembekalan oksigen Pt Dian Elpindo Pratama untuk mengisi semula silender oksigen yang kosong di Jalan Antasari Kota Pontianak. - Foto: Pontianak Post
PONTIANAK: Kamar Dagang dan Industri (Kadin) Kalimantan Barat (Kalbar) memohon bantuan Sarawak untuk membekalkan oksigen ke Kalimantan Barat susulan kekurangan drastik bekalan itu.
Ia berpunca kes COVID-19 yang melonjak tinggi di wilayah Indonesia itu.
Kadin Kalbar memaklumkan telah berhubung secara langsung dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (ACCCIS) dan mereka bersedia membekalkan oksigen ke Kalimantan Barat.
"Ini adalah usaha Kamar Dagang dan Industri Kalimantan Barat untuk membantu pemerintah provinsi dalam menangani masalah COVID-19 di Kalimantan Barat," kata Ketua Kadin Kalbar, Joni Isnaini.
"Langkah ini diambil oleh Kadin kerana pertimbangan lokasi geografi di antara Kalimantan Barat dan Sarawak, yang terhubung melalui daratan," tambah Joni.
Joni menjelaskan Kadin merancang untuk menghantar sebuah kenderaan untuk mengangkut kargo oksigen melalui pelabuhan darat di Tebedu.
"Kadin meminta sokongan penuh daripada Pemerintah Provinsi Kalimantan Barat. Saya harap Gabenor dapat berkoordinasi secara langsung dengan Ketua Menteri Sarawak dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching," tambahnya.
Sementara itu, Gabenor Kalbar, Sutarmidji berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Menteri Sarawak melalui Konsul Malaysia (Pontianak) dan KJRI di Kuching untuk saling membantu.
“Sekiranya berjaya mendapat bekalan oksigen dari Kuching mulai Khamis atau Jumaat, kita menganggarkan bahawa bekalan oksigen di Kalimantan Barat akan berada pada tahap selamat.
“Kita akan berusaha sebaik mungkin agar Kalbar mendapat bekalan oksigen minimum selama dua hingga tiga hari.
“Saya harap semua industri (yang menggunakan oksigen) berehat selama satu atau dua hari, dan menyerahkan bekalan oksigen ke hospital," katanya pada Rabu.
Menurutnya selain membeli daripada kerajaan Sarawak, pembekal oksigen di Kalbar juga membeli bekalan itu daripada Batam, Kepulauan Riau.
#COVID-19 #Sarawak #Indonesia #Malaysia #oksigen #Kuching #Ketua Menteri #Kalbar #ACCCIS
;