COVID-19: Kabinet tubuh Jawatankuasa Khas lindungi pekerja, pasaran ekonomi

Umavathi Ramayah
April 2, 2020 13:12 MYT
MITI akan juga bekerjasama dengan pemain industri dari pelbagai sektor untuk mendapatkan pandangan terperinci sektor ekonomi tertentu. - Gambar fail
Mesyuarat Kabinet yang bersidang pada Rabu bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membangunkan langkah-langkah strategik melindungi ekonomi Malaysia dan pasaran tenaga kerja yang terkesan susulan wabak COVID-19.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan di sini pada Khamis berkata, jawatankuasa itu bertujuan membentuk keseimbangan antara keutamaan ekonomi Malaysia dan keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Antara lain penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi melihat perangkaan strategi menyokong prestasi enjin-enjin ekonomi Malaysia khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas sepanjang PKP selain memastikan keberkesanan dalam usaha menangani tenaga kerja tempatan," menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan bersama Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu, jawatankuasa tersebut juga akan dianggotai oleh mereka yang terlibat dalam bidang ekonomi dan keselamatan negara.
Kenyataan itu memberitahu, MITI akan juga bekerjasama dengan pemain industri dari pelbagai sektor untuk mendapatkan pandangan terperinci sektor ekonomi tertentu.
Usaha itu katanya penting bagi memastikan jawatankuasa akan menangani isu khususnya yang dihadapi komuniti perniagaan, terutama PKS, pengeluar dan pelabur.
"Jawatankuasa ini dijadualkan akan mengadakan mesyuarat pertama esok dan kedua pada Ahad ini," ujarnya.
Semua cadangan dan perbincangan dalam dua mesyuarat itu akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada 6 April ini.
#Azmin Ali #COVID-19 #ekonomi #ismail sabri yaakob #koronavirus #MITI #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri
;