COVID-19: Jumlah pelancong ke Melaka terkesan

Bernama
Oktober 3, 2020 23:24 MYT
Tinjauan di sekitar Bandar Hilir di sini mendapati jumlah pelancong yang berkunjung ke tempat-tempat seperti Bangunan Stadthuys, Bukit St Paul, Kota A Famosa serta sepanjang Jalan Kota, jelas berkurangan berbanding sebelum ini. - BERNAMA
MELAKA: Peningkatan kes positif COVID-19 dalam negara yang mencapai tiga angka sejak 25 Sept lepas, sekali lagi memberi kesan pada industri pelancongan di Melaka, dan suasana persekitaran muram kelihatan di merata tempat yang biasanya menjadi tumpuan pelancong setiap hujung minggu.
Tinjauan di sekitar Bandar Hilir di sini mendapati jumlah pelancong yang berkunjung ke tempat-tempat seperti Bangunan Stadthuys, Bukit St Paul, Kota A Famosa serta sepanjang Jalan Kota, jelas berkurangan berbanding sebelum ini.
Situasi itu diakui pengayuh beca dari Limbongan Permai, Abd Aziz Mohd Yusof, 42, yang menawarkan khidmat untuk pelancong yang ingin menikmati pengalaman menaiki beca tradisional sambil melihat destinasi pelancongan di sekitar Bandar Hilir.
"Pelancong memang kurang dalam minggu ini terutama hari ini, walaupun pada hujung minggu. Agak terkesan jugalah dengan peningkatan kes COVID-19 yang sudah cecah ratusan kes," katanya yang menjadikan kawasan sekitar Menara Taming Sari sebagai tempat untuk menunggu pelancong.
Seorang lagi pengayuh beca, Mohd Arif Abd Rahim, 35, dari Kampung Banda Kaba yang menyetujui pandangan itu berkata suasana destinasi pelancongan di sekitar kawasan berkenaan agak lengang sejak semalam berbanding hujung minggu lepas.
Sementara itu, seorang pekerja swasta Fadzly Izab, 35, dari Putrajaya berkata laluan masuk ke Bandar Hilir pada hari ini agak lancar berbanding pada cuti hujung minggu atau cuti umum sebelum ini.
"Saya selalu datang ke Melaka dan pernah bekerja di negeri ini. Memang hari ini nampak perbezaannya, mungkin orang ramai ambil langkah berjaga-jaga kerana kes COVID-19 sudah meningkat dengan mendadak," kata beliau, yang tiba semalam dan menginap bersama keluarganya di sebuah inap desa di Bukit Katil Damai di sini.
Seorang lagi pelancong, Siti Khamisah Md Nasir, 40, dari Pasir Gudang, Johor yang tiba di Melaka kira-kira pukul 3.30 petang tadi berkata beliau dan keluarga hanya singgah sebentar untuk melawat destinasi pelancongan sekitar pusat bandar itu sebelum meneruskan perjalanan ke Johor.
Suri rumah itu turut mengakui, persekitaran bandar ini jelas lengang berbanding kunjungannya ke sini beberapa kali sebelum ini.
Bagi seorang peniaga kerepek di gerai berhampiran Kota A Famosa, Alif Ammar Baharuddin, 22, dari Bukit Katil yang baru tiga bulan mengusahakan perniagaan, beliau kini amat risau sekiranya kes positif COVID-19 terus mencatatkan peningkatan kerana ia sudah tentu memberi kesan kepada perniagaannya.
"Memang kurang sangat pelancong di sini dan orang yang lalu lalang pun kurang. Risau juga sebab saya hanya peniaga kecil dan berharap pada pelancong yang berkunjung ke sini," katanya.
-- BERNAMA
#industri pelancongan #Melaka #tiga angka #peningkatan kes #COVID-19 #kes positif #pelancong #Bandar Hilir #Bangunan Stadthuys #Bukit St Paul #Kota A Famosa #pengayuh beca
;