COVID-19: Jumlah mangsa pulih atasi kes baharu, 2 kematian lagi direkodkan
Fareez Azman
April 8, 2020 17:43 MYT
April 8, 2020 17:43 MYT
Perkembangan terbaharu pandemik COVID-19 di Malaysia pada Rabu menyaksikan sebanyak 166 kes telah pulih dan dibenarkan discaj.
Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 1,487 kes.
Sementara kes baharu COVID-19 yang dicatat pula adalah sebanyak 156 kes.
Ini bermakna, bilangan kes yang didiscaj pada hari ini melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, wabak COVID-19 juga turut meragut dua lagi nyawa menjadikan jumlah kematian sehingga Rabu meningkat kepada 65 mangsa ketika ini.
Dr Noor Hisham berkata, dua kes kematian itu melibatkan seorang warganegara Malaysia dan Pakistan.
"Kes kematian ke-64 (kes ke-2903) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi.
"Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 7 April 2020 jam 3.20 petang," katanya
Manakala kes kematian ke-65 (kes ke 1906) melibatkan lelaki warganegara pakistan berusia 69 tahun dan mempunyai masalah kesihatan.
"Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan (tabligh) di Sri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 April 2020 jam 9.30 pagi," jelas Noor Hisham.
Sehingga kini, jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 4,119 kes dan 76 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#ICU
#KKM
#koronavirus
#Kuala Lumpur
#Kumulatif
#meninggal dunia
#Negeri Sembilan
#Pakistan
#peningkatan