COVID-19: Johor arah masjid, surau tangguh penganjuran sambutan Maulidur Rasul

Bernama
Oktober 13, 2021 09:42 MYT
Tosrin berkata penangguhan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes COVID-19 melibatkan beberapa mukim di daerah negeri ini. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor hari ini mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini supaya menangguhkan penganjuran majlis sambutan Maulidur Rasul mulai Selasa ini (19 Okt) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata penangguhan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes COVID-19 melibatkan beberapa mukim di daerah negeri ini.
Beliau berkata arahan itu selaras dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 di masjid dan surau negeri ini.
"Bagaimanapun, sambutan boleh dilaksana dan disiarkan secara dalam talian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tosrin berkata bagi sambutan peringkat negeri yang dijangka berlangsung di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini Isnin ini, hanya 50 orang sahaja dibenarkan termasuk imam, bilal dan petugas.
-- BERNAMA
#Sambutan Maulidur Rasul #Kerajaan Johor #Sultan Johor #COVID-19