COVID-19 jejas kemajuan dalam mengurangi kemiskinan - KRI
Bernama
September 26, 2024 10:10 MYT
September 26, 2024 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kemiskinan mutlak meningkat dari 2019 hingga 2022, terutamanya dalam kalangan isi rumah bandar, menokok kepada 4.5 peratus menjelang 2022 berbanding hanya 3.8 peratus pada 2019, menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Dalam laporannya 'Keadaan Isi Rumah 2024: Isi Rumah dan Pandemik 2019-2022', ia memberitahu Kuala Lumpur merupakan kawasan dengan peningkatan isi rumah tertinggi iaitu 6,774 isi rumah, diikuti Kuala Muda (5,229) dan Kota Kinabalu (5,117).
Laporan tersebut yang dikeluarkan hari ini menjelaskan pandemik COVID-19 telah merencatkan semua pencapaian terdahulu yang dibuat bagi mengurangkan kemiskinan.
"Pandemik secara tidak seimbang menjejaskan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah," katanya.
KRI melaporkan bahawa isi rumah berpendapatan RM3,000, RM5,000, RM11,000 dan ke atas menyaksikan pertumbuhan 2 peratus, 5.1 peratus serta 6.6 peratus, masing-masing pada 2022, manakala mereka dalam kategori berpendapatan rendah menurun serendah 40.9 peratus.
"Kawasan dengan isi rumah yang agak tinggi dalam kemiskinan mutlak mempunyai akses yang lebih rendah kepada kemudahan asas, menunjukkan kaitan yang rapat antara miskin kewangan dan bukan wang," katanya.
Oleh itu, laporan tersebut mencadangkan sasaran dan dasar pembangunan ekonomi yang inklusif bagi mengurangkan jurang setempat, meningkatkan akses kepada kemudahan asas serta menyokong pertumbuhan pendapatan.
Selain itu, pengeluaran dana daripada Pertubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan COVID-19 telah meluaskan jurang pendapatan secara mendadak, menjejaskan pencarum berpendapatan rendah secara tidak seimbang.
"Individu yang berpendapatan rendah telah mengeluarkan hampir semua simpanan mereka (sehingga 98 peratus dalam kumpulan umur 30 dan ke bawah serta kumpulan umur 30-54), berbanding kadar yang jauh lebih rendah dalam kumpulan berpendapatan yang lebih tinggi," katanya.
KRI juga berkata, secara nasional, perbelanjaan isi rumah sebagai peratusan pendapatan berterusan meningkat, dengan isi rumah bandar menyaksikan pertumbuhan yang lebih tinggi (5.6 peratus) berbanding luar bandar (3.6 peratus) dari 2014 hingga 2022.
Laporan itu menyebut secara amnya, isi rumah memperuntukkan bahagian terbesar perbelanjaan bulanan mereka kepada tiga keperluan asas iaitu perumahan dan utiliti (23.2 peratus), makanan di rumah (16.3 peratus), makan di luar 15.3 peratus dan pengangkutan 11.3 peratus.
"Makanan di luar rumah dengan pantas menggantikan makanan di rumah, dengan isi rumah Malaysia membelanjakan hampir separuh atau 48 peratus daripada perbelanjaan makanan mereka untuk makanan di luar rumah selepas wabak," katanya.
Penyelidikan KRI juga mendapati bahawa akses serta penggunaan digital telah melonjak semasa wabak tetapi kekal seimbang selepas pandemik, terutamanya dalam perbankan internet dan kesihatan digital.
"Penggunaan internet untuk mendapatkan maklumat kesihatan dan membuat temu janji kesihatan dalam talian menurun selepas 2021, lebih ketara pada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
"Lonjakan yang didorong oleh pandemik dalam penggunaan kesihatan digital ini menyerlahkan potensi manfaat pendigitalan penjagaan kesihatan dan juga cabaran kepada pelaksanaannya," kata laporan itu.
Proses pendigitalan penjagaan kesihatan selama sedekad telah menghadapi cabaran dalam menaik taraf infrastruktur warisan dan melaksanakan penyepaduan data merentasi sektor awam dan swasta.
"Dalam menangani halangan ini, negara telah beralih kepada pendekatan yang lebih ringan, mudah alih dan berasaskan awan.
"Sistem kesihatan digital kalis masa depan di seluruh negara perlu inklusif, berpusatkan pesakit serta ditadbir dengan baik. Peraturan data khusus dalam data kesihatan termasuk peningkatan pelaburan dalam pendigitalan asas penjagaan kesihatan adalah penting dalam mencapai matlamat ini," tambahnya. - BERNAMA