COVID-19: JAWI saran semua masjid KL, Putrajaya laksana solat hajat hari ini hingga Isnin

Bernama
November 5, 2020 05:07 MYT
Disarankan solat hajat dilakukan 6 Nov selepas solat Jumaat dan 7 hingga 9 Nov selepas Solat Maghrib di semua masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur dan Putrajaya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau diri Jumaat sementara di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melaksanakan solat hajat.
Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata saranan bagi memohon perlindungan Allah SWT itu, susulan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi dan membimbangkan di negara ini sejak beberapa hari lepas.
"Disarankan solat hajat dilakukan esok (6 Nov) selepas solat Jumaat dan 7 hingga 9 Nov selepas Solat Maghrib di semua masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Semoga doa yang dimunajatkan dengan penuh keikhlasan, rendah diri, keyakinan dan pengharapan diperkenan oleh Allah SWT," menurutnya dalam kenyataan, semalam.
Malaysia mencatat jumlah kes baharu lebih 1,000 untuk tiga hari berturut sejak 3 Nov dengan jumlah kes semalam sebanyak 1,009 kes.
-- BERNAMA
#JAWI #COVID-19 #solat hajat #Mohd Ajib Ismail #masjid #surau #Kuala Lumpur #Putrajaya #doa #kes positif #peningkatan kes
;