COVID-19: Jawab borang HAT di MySejahtera sekiranya positif atau kontak rapat - Khairy

Nickyson Nyambar
Februari 23, 2022 20:52 MYT
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai untuk terus mengamalkan TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform dan Seek serta memakai pelitup muka dalam keadaan tidak pasti ketika ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyarankan orang ramai untuk mengisi borang Penilaian Kendiri iaitu Health Assessment Tool (HAT) di aplikasi MySejahtera sekiranya dijangkiti COVID-19 atau menjadi kontak rapat.
Ini berikutan kewujudan kes yang sama ada dijangkiti dan menjadi kontak rapat serta tidak mempunyai gejala serius.
"Sekarang ramai ahli keluarga atau rakan-rakan kita yang positif COVID-19, tetapi tidak mempunyai gejala. Jika anda bergejala, segera asingkan diri dan lakukan ujian kendiri COVID-19.
"Jika positif, laporkan keputusan ujian di MySejahtera. Semasa dalam tempoh kuarantin, anda akan menerima notifikasi pada 'things to do'.
"Ini adalah HAT di mana anda dapat mengemas kini gejala yang anda alami. Sentiasa pantau gejala dan tahap kesihatan anda jika gejala bertambah serius seperti sukar bernafas, demam berpanjangan, sakit dada, hilang selera makan, sila hubungi atau terus ke fasiliti kesihatan terdekat.
"Terus amalkan (Test, Report, Isolate, Inform dan Seek) TRIIS dan pakai pelitup muka," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Rabu.
Ujarnya, menerusi HAT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh memantau keadaan semasa dan memberikan panduan serta langkah buat pesakit.
"Ayuh kita saling mengingatkan di antara satu sama lain untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan melaksanakan #TRIIS demi keselamatan bersama," tambahnya.
#MySejahtera #COVID-19 #pandemik #TRIIS #HAT #penilaian kendiri #Khairy Jamaluddin #KKM
;