COVID-19: Jangkitan sporadik masih tinggi di Sabah, sumbang kes harian 5,359 hari ini

Astro Awani
Februari 19, 2022 08:08 MYT
Datuk Seri Masidi Manjun berkata, 5,359 kes dicatatkan hari ini dengan Kota Kinabalu menyumbang kepada angka tertinggi.
KUALA LUMPUR: Penularan jangkitan dalam komuniti bagi beberapa daerah di Sabah dilihat tinggi hingga menyumbang kepada kes positif di negeri itu melebihi 5,000 kes hari ini.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, 5,359 kes dicatatkan hari ini dengan Kota Kinabalu menyumbang kepada angka tertinggi.
Manakala, 12 daerah lagi merekodkan tiga digit iaitu Penampang (583); Tuaran (494); Putatan (457); Papar (293); Lahad Datu (244); Tawau (243); Beaufort (233); Sandakan (207); Kota Belud (203); Keningau (166); Kota Marudu (150) dan Ranau (147).
"Daerah yang mencatat jumlah kes harian yang tinggi juga sinonim dengan peratusan jangkitan sporadik yang tinggi.
"Peratusan jangkitan sporadik di Kota Kinabalu hampir 62.5 peratus daripada jumlah kes baharu, Penampang 64.1 peratus; Tuaran (56.3 peratus), Putatan (75.5 peratus). Kita boleh simpulkan bahawa jumlah kes harian yang tinggi setiap hari berpunca daripada jangkitan dalam komuniti yang sukar dibendung lantaran tidak diketahui punca dan tempat jangkitan berlaku," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang dijangkiti COVID-19 kekal tinggi iaitu 673 orang.
Daripada jumlah itu, katanya, 283 daripada mereka di bawah umur 5 tahun yang belum layak diberi vaksin, 390 orang lagi berumur antara 5 - 11 tahun yang belum menerima vaksin walaupun sudah layak memperolehinya.
"Kedua kumpulan ini merupakan 12.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sabah hari ini. Amatlah disarankan agar ibu bapa membawa anak-anak mereka yang sudah layak di vaksin untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan atau kesan jangkitan yang lebih serius," katanya.
Dalam pada itu, Masidi berkata, daripada 5,359 jangkitan baharu hari ini, 5,341 pesakit atau 99.66 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, sembilan (9) orang dalam Kategori 3, empat (4) orang dalam Kategori 4 dan lima (5) orang dalam Kategori 5.
Sehubungan itu, katanya, cara terbaik untuk mengelak terdedah kepada jangkitan ialah mengelak kawasan sesak selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
#COVID-19 #jangkitan sporadik #Masidi Manjun #SOP COVID-19