COVID-19: Jangkitan semula, apa cerita? Agenda AWANI 8.30 malam ini

Israr Khalid
Februari 11, 2022 17:49 MYT
Malam ini Agenda AWANI membawakan Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Pakar Perunding Perubatan (Respiratori), Hospital Pakar KPJ Damansara yang juga Presiden MERCY Malaysia.
KUALA LUMPUR: Nampaknya wabak COVID-19 bukan semakin mereda, malah mencanak naik semula.
Hari ini kes jangkitan baharu sudah kembali melepasi angka 20,000, gara-gara gelombang varian Omicron yang kini sedang melanda seluruh dunia.
Adakah ini akibat silap kita tidak mematuhi SOP pada disiplin yang tinggi, atau memang varian ini lebih berbahaya?
Beberapa pakar mengatakan kesan Omicron ini tidak begitu serius, terutamanya kepada komuniti yang telah divaksinasi sekurang-kurangnya dua dos, lebih baik tiga dos. Yang dimasukkan ke ICU pun tidak ramai berbanding jumlah total yang dijangkiti.
Namun begitu, ancamannya tetap perlu dipandang serius. Selain daripada lebih mudah berjangkit, varian ini menyebabkan orang pernah dijangkiti dan sembuh boleh ‘terkena’ sekali lagi.
Bagaimana pula kesannya kepada mereka yang dijangkiti buat kali kedua, atau mungkin lebih dari itu? Adakah sama, lain, lebih ringan kerana dilindungi vaksin atau lebih berat kerana sifat-sifat lain yang dibawa varian baharu itu?
Sepertimana yang diketahui, kesan jangkitan COVID-19 ini bukan sahaja terhadap fizikal, malah sedikit sebanyak mengolah beberapa aspek dalam psikologi sang pesakit. Sedalam dan selama mana impaknya, dan bagaimana untuk mengatasinya?
Dalam terus mempelajari perkembangan ‘pendatang baharu’ dalam kehidupan kita ini, Astro AWANI akan terus membawakan pakar-pakar menjelaskan tentang dapatan baharu dan pendapat mereka untuk makluman khalayak.
Malam ini jam 8.30 di pentas Agenda AWANI, kami bawakan Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Pakar Perunding Perubatan (Respiratori), Hospital Pakar KPJ Damansara yang juga Presiden MERCY Malaysia.
Hanya di saluran 501 dan strim di astroawani.com.
#Agenda Awani #COVID-19 #Omicron #jangkitan
;