COVID-19: Jangkitan meluas mampu jejaskan pentadbiran Sabah

Hilmi Malik
Oktober 10, 2020 16:54 MYT
Menurut Awang Bulgiba, adalah membimbangkan jika ahli Kabinet mempunyai kontak rapat, maka mereka juga perlu dikuarantin untuk memastikan mereka tidak dijangkiti supaya mampu berfungsi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan ujian saringan COVID-19 yang positif ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor boleh mencetuskan kebimbangan penularan wabak berkenaan dalam kalangan jentera pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berpendapat, keadaan Ketua Menteri itu sebetulnya sedikit sebanyak mendatangkan risiko kepada jentera kerajaan negeri terutamanya mereka yang mempunyai kontak rapat.
“Ini membimbangkan jika ahli Kabinet mempunyai kontak rapat maka mereka juga perlu dikuarantin untuk memastikan mereka tidak dijangkiti supaya mampu berfungsi.
“Kalau jentera kerajaan negeri dijangkiti dengan begitu meluas ia akan melumpuhkan pentadbiran negeri dan ini menyukarkan proses pengawalan untuk melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di kawasan yang terlibat di Sabah,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI menerusi Skype pada Sabtu.
Pada Jumaat, Hajiji yang disahkan positif COVID-19 kini menjalani kuarantin wajib di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.
Beliau juga dilaporkan menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu secara sukarela selepas salah seorang kakitangannya turut disahkan positif COVID-19.
Setakat ini, Sabah mencatatkan negeri tertinggi penularan kes COVID-19 dengan rekod kes harian masih mencecah tiga angka.
BACA: Hajiji disahkan positif COVID-19
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
#Ketua Menteri Sabah #Hajiji Mohd Noor #Sabah #PKP #COVID19 #koronavirus #KKM
;