COVID-19: Jangkitan masih terkawal di sekolah - Fadhlina

Umavathi Ramayah
April 7, 2023 22:24 MYT
Fadhlina Sidek berkata, setakat ini pihaknya tidak mewajibkan sebarang saringan di sekolah. - Gambar fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: Penularan kes COVID-19 yang melibatkan warga sekolah sejak pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan bulan lau masih lagi terkawal.
Justeru Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini pihaknya tidak mewajibkan sebarang saringan di sekolah.
Namun katanya, Kementerian Pendidikan menyediakan pelan intervensi termasuk menyediakan bilik isolasi di semua sekolah.
"Buat masa masih lagi terkawal. Terkawal maksudnya dari aspek kita, kita tiada sebarang isu besar. Pihak Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan membuat pemantauan.
"Jika pemantauan sama-sama kita laksanakan, kita buat intevensi dan sebagainya bagi mengelakkan penularan yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jerayawara Pendidikan Madani di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes COVID-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.
Peningkatan kes dan kluster COVID-19 itu berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.
Beliau berkata daripada 11 kluster pendidikan yang dilaporkan, enam kluster membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.
Lima lagi, katanya, adalah kluster pendidikan lain iaitu empat maktab dan satu taska.
#Kementerian Kesihatan #Kementerian Pendidikan #COVID-19 #kluster sekolah
;