COVID-19: Jangan panik peningkatan kes di Sarawak, nilai data mengikut kategori - Dr Sim

Fadilah Sulaiman
September 8, 2021 19:37 MYT
Dr Sim berkata, rakyat perlu meneliti kadar jangkitan yang berada pada Kategori 1 dan 2 dengan kadar pemulihan 99 peratus. - Gambar fail
KUCHING: Masyarakat perlu memahami data kes jangkitan harian mengikut kategori dan tidak perlu panik melihat angka kes COVID-19 yang menunjukkan peningkatan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Ujarnya, rakyat perlu memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan disebalik kelancaran pemberian vaksin COVID-19 di negeri berkenaan.
“Pada era pasca vaksinasi, 99 peratus jangkitan berada di Kategori 1 dan 2 dengan kadar pemulihan 99 peratus dan walaupun kita hidup dengan virus, kita masih melihatnya dengan serius.
"Kita perlu sentiasa berwaspada tetapi tidak perlu berasa panik setiap hari setelah melihat jumlah kes harian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.
Beliau menekankan, tumpuan ketika ini adalah untuk mengurangkan jumlah kematian serta pesakit yang berada di Kategori 3 hingga 5 yang memerlukan bantuan perubatan.
Dr Sim kemudiannya membandingkan jumlah kes harian serta kematian di Sarawak kepada beberapa negeri lain yang mencatat kes harian tinggi pada Selasa lalu.
“Melaka mencatatkan 448 kes 10 kematian; Kuala Lumpur (631 kes) dengan 10 kematian; Perak (1,197 kes) 20 kematian; Kelantan (1,458 kes) 14 kematian; Kedah (1,487 kes) 43 kematian dan Pulau Pinang (1,776 kes) 34 kematian.
"Manakala di Sabah (2,107 kes) 45 kematian; Johor (2,174 kes) 53 kematian; Selangor (2,407 kes) 55 kematian dan Sarawak (3,200 kes) tujuh kematian,” tambahnya.
Oleh yang demikian katanya, semua pihak masih perlu memainkan peranan masing-masing dengan serius demi melengahkan penularan agar sistem kesihatan tidak terbeban terutamanya ketersediaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Walaupun baru-baru ini kita telah menaik taraf perkakasan fasiliti sejumlah RM43 juta dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan RM15 juta dari Kerajaan Negeri, Sarawak masih terhad sumber tenaga petugas kesihatan, malah juga harus mempertimbangkan risiko keletihan dan ‘burnout’ kakitangan kita,” katanya lagi.
#Data jangkitan #COVID-19 #Kes harian tinggi #Datuk Seri Dr Sim Kui Hian
;