COVID-19: Jangan panik, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan - Muhyiddin
Isabelle Leong
Mac 16, 2020 22:25 MYT
Mac 16, 2020 22:25 MYT
“Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang.”
Demikian nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 di dalam negara pada Isnin malam.
Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara itu adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat.
“Kita melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan COVID-19.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin juga merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dilaksanakan bermula Rabu, 18 Mac hingga 31 Mac ini.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19.
“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak COVID-19 dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok (Selasa).
#bertenang
#COVID-19
#jangan panik
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#Perutusan Khas