COVID-19: 'Jangan panik, barangan mencukupi' - Ameer Ali Mydin

Umavathi Ramayah
Mac 25, 2020 14:48 MYT
Ameer Ali Mydin berharap orang ramai lebih fokus barang apa yang hendak dibeli mengikut keperluan. - Gambar fail
Barangan keperluan harian masih mencukupi dan rakyat tidak perlu panik susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April depan.
Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin memberitahu, ini kerana premis-premis yang menjual barangan keperluan masih dibuka dan rakyat tidak perlu panik dengan membeli barangan secara pukul.
"Saya berharap orang ramai lebih fokus barang apa yang hendak dibeli mengikut keperluan. Beli untuk bekalan dua atau tiga hari sudah memadai. Tidak perlu beli untuk bekalan satu minggu," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Ameer Ali yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd berkata, kesemua 70 cawangan pasar raya itu dibuka di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai untuk membeli barang.
Malah katanya, premis itu turut dibuka setengah jam lebih awal daripada waktu operasi sebelum ini bagi memberi ruang kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk membeli barangan tanpa perlu bersesak-sesak.
BACA: Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020
Setakat ini, katanya, bekalan barangan utama seperti beras, tepung, gula, ayam dan ikan adalah mencukupi memandangkan rantaian logistik pasar raya besar itu tidak terputus.
"Kita masih lagi mendapat barangan yang diimport dari luar negara, jadi tidak ada timbul masalah kekurangan bekalan di sini," jelasnya.
Sayur-sayuran seperti brokoli, lobak dan bunga kubis juga katanya tidak ada masalah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Rabu mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020.
Beliau menjelaskan, pelanjutan tempoh berkenaan dibuat lebih awal agar rakyat lebih bersedia.
Menurut Muhyiddin, tempoh PKP ini akan turut dikaji dari semasa ke semasa.
#Ameer Ali Mydin #barangan #Bumiputera #COVID-19 #kesihatan #Muhyiddin Yassin #MYDIN #pasar raya besar #perintah kawalan pergerakan #rakyat
;