COVID-19: Jangan alpa amalan kesihatan ketika Ramadan - Sultan Nazrin
Abd Razak Mohd Ali
Mac 15, 2022 12:52 MYT
Mac 15, 2022 12:52 MYT
KUALA KANGSAR: Umat Islam diingatkan supaya jangan lupa terus melaksanakan amalan kesihatan ketika menjalani aktiviti dalam bulan Ramadan, bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, umat Islam perlu berhati-hati bagi membolehkan mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana riang dan ceria.
“Sudah dua tahun, umat Islam tidak berpeluang merayakan Aidilfitri bersama anggota keluarga dan sanak saudara.
“Menjadi hasrat dan harapan Beta, pada tahun ini, keriangan menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah lagi ceria dapat dikembalikan,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-170 di Istana Iskandariah di sini, hari ini.
Titah baginda, kerajaan telah mengumumkan negara akan melangkah fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini dan kelonggaran yang diberi, membolehkan manusia bergerak di samping lebih bebas melakukan aktiviti.
“Semoga rakyat akan dapat menjalani gaya hidup yang normal, kegiatan ekonomi berupaya dirancakkan dan kemakmuran negara kembali pulih, di samping rakyat dapat menikmati suasana hidup riang lagi sejahtera,” titah baginda.
Namun, Sultan Nazrin bertitah, kelonggaran pergerakan yang diberikan tidak bermakna ancaman wabak sudah berakhir.
Titah baginda, langkah-langkah preventif yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan hendaklah senantiasa dipatuhi.
“Rakyat wajib dinasihatkan sama-sama membantu usaha-usaha negara untuk meminimumkan jangkitan dan melindungi negara daripada menghadapi gelombang baharu,” titah baginda.
Menjelang bulan Ramadan yang bakal menjelang, baginda menitahkan Orang-orang Besar Negeri, terutama Orang Besar Jajahan, agar berperanan aktif membantu memantau aktiviti yang berlangsung di masjid dan memberikan nasihat serta bimbingan sewajarnya untuk meminimumkan risiko jangkitan.
“Beta akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan dan nasihat kepada Institusi Agama Islam, masjid dan surau,” titah baginda.
Pada mesyuarat itu, Sultan Nazrin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin di atas khidmat bakti beliau sepanjang tempoh menjadi ahli Dewan Negara Perak sejak 17 April 2015 dan akan berakhir pada Rabu ini.
“Dengan segala berat hati, beliau tidak ditawarkan untuk dilantik semula atas timbang rasa Beta berdasarkan keadaan kesihatan beliau,” titah baginda.
Baginda turut mengalu-alukan keahlian ahli Dewan Negara Perak (Yang Bukan Rasmi) yang baharu, kepada Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin.
Titah baginda, pengalaman Zulkifli dalam perkhidmatan guaman dan kehakiman sehingga menjawat jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, akan menjadi aset penting kepada Dewan Negara Perak.