COVID-19: Jakim sedia lebih 30 kakitangan beri perkhidmatan kaunseling, psikologi
Bernama
September 11, 2021 19:18 MYT
September 11, 2021 19:18 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menugaskan lebih 30 kakitangannya untuk memberi perkhidmatan kaunseling dan psikologi kepada mereka yang terkesan dalam tempoh pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata khidmat itu akan diberikan kepada orang ramai menerusi talian hotline 03-88707519 atau 03-88707527 yang telah diwujudkan sejak setahun lepas.
"Talian ini disediakan untuk menangani masalah kemurungan, persoalan berbangkit tentang kesihatan mental dan juga tentang kekeluargaan," katanya kepada pemberita pada program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Musaadah YADIM-Bank Islam di Dataran Muhammadi di sini hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peningkatan bunuh diri sebanyak 143 peratus di negara ini, Ahmad Marzuk berkata dengan adanya talian berkenaan ia sekurang-kurangnya dapat membantu memberi penyelesaian kepada mereka yang mengalami tekanan sehingga ada yang bertindak di luar jangka untuk melakukan bunuh diri.
"Biasanya bunuh diri ini tidak berlaku sekadar suka-suka tetapi ia disebabkan adanya tekanan mental, oleh itu Jakim sudah wujudkan talian hotline ini, jadi sesiapa sahaja boleh membuat panggilan.
"Kadang-kadang ada cara lebih mudah untuk mereka selesaikan masalah tetapi mereka tidak ada ilmu untuk menyelesaikan perkara itu, jadi kita akan cuba permudahkan mereka termasuk mencadangkan mereka mendapatkan bantuan di Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ataupun di majlis agama negeri-negeri," katanya.
Semalam media melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini antara Januari hingga Julai tahun ini, iaitu peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Marzuk berkata Malaysia merupakan negara yang sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat sekiranya hendak dibandingkan dengan negara-negara lain.
"Negara kita telah membelanjakan sejumlah yang besar semata mata untuk menjaga kebajikan rakyat. Apa yang penting, dalam negara kita ini rakyat terbela dan ada makanan untuk dimakan.
"Kalau dah semua kelengkapan itu ada, selain yang terbaharu kerajaan menyediakan wang bantuan kepada rakyat selain pembayaran lain. Usaha kerajaan ini dilihat penting untuk memastikan tiada lagi tekanan-tekanan yang memaksa segelintir rakyat bertindak di luar jangka sehingga bunuh diri," katanya.
-- BERNAMA