COVID-19: JAIS pertimbang longgar SOP pernikahan di Selangor
Hilmi Malik
Julai 6, 2020 20:12 MYT
Julai 6, 2020 20:12 MYT
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) pernikahan di negeri itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) meskipun kelonggaran telah diberikan di peringkat Persekutuan.
Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bagaimanapun pihaknya sedia untuk mempertimbangkan kelonggaran tersebut namun bergantung kepada keadaan semasa COVID-19 di Selangor dan keputusan mesyuarat jabatan yang terlibat.
“Buat masa ini ikut dahulu ketetapan sedia ada dan InsyaAllah akan ada kelonggaran baru dan kita akan pertimbangkan dan saya akan bawa isu ini di mesyuarat dan ini bukan soal JAIS terlalu tegas tetapi ini keputusan mensyuarat.
“Kita harap mereka bersabar, dalam beberapa minggu lagi akan ada perubahan kerana penularan ini menunjukkan lebih baik termasuk pematuhan kendiri juga dilihat bertambah baik jadi kita perlu bersabar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Baru-baru ini, pihak JAIS menerima rungutan orang ramai khususnya pasangan yang bakal bernikah berkenaan SOP pernikahan di Selangor yang dikatakan masih ketat dan tidak selari dengan kelonggaran yang diberikan pihak Kerajaan.
Ini termasuk rungutan berhubung lokasi dan proses akad nikah yang hanya dibenarkan di bangunan masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang.
Jelas Shahzihan, apa yang menjadi keutamaan adalah risiko berhubung penularan COVID-19 di Selangor yang mencatatkan kes yang agak membimbangkan termasuk beberapa pegawai pernikahan yang pernah terlibat dengan kontak rapat COVID-19 ketika menghadiri majlis.
“Apa pun keputusan yang diumumkan pihak Kerajaan kita masih lagi mengambil langkah berhati-hati walaupun banyak kelonggarann telah diberikan.
“Akad nikah di rumah juga kita (JAIS) masih tidak benarkan lagi dan kita bimbang jika tidak mampu kawal keadaan kemudian akan jadi punca wujudnya kluster baharu, itu yang kita nak elakkan.
“Sepatutnya mereka rujuk pihak JAIS dahulu dan kita akan maklum pendirian kita jelas dan bila buat pernikahan di lokasi yang tidak dibenarkan dan kemudian menyalahkan pihak JAIS seolah-olah tidak meraikan mereka dan ini agak kurang tepat,” katanya lagi.
Setakat ini, JAIS memutuskan semua majlis akad nikah fizikal hanya dibenarkan di bangunan masjid dengan syarat-syarat tertentu sepanjang PKPP berbanding sebelum ini yang hanya dilakukan menerusi dalam talian.