COVID-19 jadi wadah pelaksanaan Jaluran Kesihatan Laluan Sutera China

Dr Amalina Ahmad Tajudin
Mac 31, 2020 12:23 MYT
Presiden Xi Jinping menamakan usaha China membantu dunia membendung Covid19 sebagai "Jaluran Kesihatan Laluan Sutera China". -Gambar fail/Reuters
MENGIKUT statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COVID-19 ialah pandemik nombor satu dunia dengan jumlah jangkitan lebih 700,000 berbanding Severe Acute Respiratory System (SARS) dengan jumlah jangkitan 8,069 pada tahun 2003.
COVID-19 jugalah pandemik yang mencatatkan jumlah kematian lebih 37,000 dengan kadar kematian hampir 20 peratus secara global.
Dalam keadaan genting membendung COVID-19, dunia tidak terkesan dengan persepsi negatif, malah kurang menghiraukan pelbagai teori konspirasi yang belum terbukti sahih.
Ada yang menyatakan China bersalah mencetus virus di pasar Wuhan; ada juga pihak yang membuat tuduhan Amerika Syarikat sebagai penyebab tersebarnya koronavirus itu.
Dalam Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa di Pusat Persidangan Kebangsaan China, Beijing pada April tahun lalu, Malaysia dan Singapura menyatakan sokongan kepada China menerusi Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China (Belt and Road Initiative).
Sokongan ini dinyatakan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan harapan inisitiatif itu memberi manfaat dua hala menerusi projek infrastruktur yang dirancang.
Menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Chan Chun Sing, inisitiatif kekal sebagai "wadah terbuka" yang membolehkan aliran perdagangan dan pelaburan bebas.
Dalam inisiatif ini, institusi-institusi China menyediakan peruntukan lebih AS$440 bilion kepada projek-projek infrastruktur peringkat global.
Menurut Kementerian Kewangan China, pinjaman diberikan oleh China berdasarkan garis panduan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Hasilnya, bermula April 2019 projek ECRL di Malaysia dijalankan semula dengan kos yang dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.
Namun, inisiatif Jaluran Ekonomi China banyak kali dikecam atas faktor geopolitik.
Banyak negara yang menyatakan China mengaut keuntungan dengan menawarkan pinjaman berbilion ringgit untuk pembinaan fasiliti di negara luar, yang mana sekiranya gagal dibayar, China akan "berkuasa" dari segi ekonomi untuk membeli pelabuhan malahan tanah negara lain.
Benua Eropah, khususnya, amat sangsi dengan niat sebenar China.
Walau bagaimanapun, wabak COVID-19 sedikit sebanyak mengubah persepsi dunia mengenai Inisiatif Jalur Ekonomi.
Sungguhpun label "virus China" diguna pakai ke atas China oleh Presiden Donald Trump, dunia menyaksikan China berusaha mengimbangi antara pengurusan risiko hutang dan pada masa sama terus giat menghantar bantuan kepada negara-negara yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan fahaman politik.
Terkini, Presiden Xi Jinping menamakan usaha China membantu dunia membendung COVID-19 sebagai "Jaluran Kesihatan Laluan Sutera China".
Nama tersebut diinspirasikan berdasarkan “Jaluran Ekonomi” dan semestinya legasi China 2,000 tahun dahulu sebagai pengeksport sutera dan penghubung jalan perdagangan "Laluan Sutera" di antara Asia Tengah dan Arab.
Dengan kekuatan buruh terbaik di dunia yang mengamalkan tradisi kerja "996" (bekerja 9 pagi hingga 9 malam, 6 hari seminggu), tidak menghairankan produksi topeng penutup muka dan hidung serta peralatan pelindungan diri berjaya dihasilkan oleh China dalam kuantiti berganda, memenuhi keperluan hospital - hospital rawatan COVID-19 utama di serata dunia.
Walaupun China dan AS seteru dalam peperangan perdagangan, China bijak membuka "laluan" dengan AS.
Buktinya, Presiden Trump mengakui Presiden Xi Jinping sendiri berkongsi pengalaman melalui panggilan telefon dan banyak perkara dipelajari oleh AS daripada input yang diberikan oleh Xi Jinping.
China juga menyatakan kesediaan membantu bekalan AS yang ketika ini merupakan negara tertinggi merekodkan jumlah kes dengan mencatatkan hampir 85,000 jangkitan.
China terus membuka "laluan" dengan Malaysia yang juga kritikal kerana berada pada tangga ke-24 tertinggi dalam statistik COVID-19 WHO.
Namun pada minggu lalu sahaja, Wisma Putra mengumumkan Malaysia menerima 35,000 topeng muka KN95 dan 1,120 alatan pelindungan diri daripada China.
Bantuan ke Malaysia juga dibuat melambangkan persahabatan akrab kedua-dua negara. Tidak dilupakan Malaysia juga membantu China pada Februari lalu dengan bekalan persediaan wabak COVID-19.
Yang memberangsangkan juga apabila syarikat China Communications Construction Laluan Rel Pantai Timur Sdn Bhd (CCC-ECRL) turut memberikan sumbangan 3,000 penutup hidung dan mulut jenis N95, 2,000 penutup hidung dan mulut KN90, 20,000 topeng muka pembedahan dan 1,200 kaca mata perubatan.
Tidak kurang juga bantuan kepada Sepanyol di mana pada 21 Mac lalu China menggunakan tren asal "Silk Road" untuk menghantar 110,000 topeng penutup muka dan hidung serta 776 peralatan pelindungan diri (PPE).
Tren tersebut bergerak daripada Yiwu, timur China ke Sepanyol selama 17 hari sejauh 13,000 kilometer perjalanan.
Tren “Silk Road” inilah yang mengangkut barangan merentas kontinen dunia antara Timur dan Barat, dan pada hari ini tren yang sama membawa barangan peralatan membendung COVID-19.
Tren yang pada asalnya digunakan untuk Jaluran Ekonomi turut digunakan bagi tujuan Jaluran Kesihatan oleh China kini.
Itali pula turut menerima tenaga kepakaran perubatan membendung covid19 daripada China 12 Mac lalu dan Presiden Xi Jinping mengakui di akhbar XinhuaNet bahawa ini adalah salah satu usaha pembinaan "Jaluran Kesihatan" oleh China.
Dunia kini menyaksikan China sebagai kuasa besar yang bertoleransi bukan sahaja dari segi perdagangan malah persahabatan menerusi konsep Jaluran Kesihatan.
Uniknya, Jaluran Kesihatan kini terbentuk selepas pandemik Covid19 dan bantuan pelbagai bentuk diterima oleh AS, Malaysia, Sepanyol dan Itali adalah beberapa contoh besar China melaksanakan idea Jaluran Kesihatan mereka.
Bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia dan China bekerjasama kerana telah banyak keserasian dalam klausa perundangan yang dipersetujui bersama dalam perjanjian perdagangan ASEAN-China dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Namun, COVID-19 sebagai pencetus inisiatif Jaluran Kesihatan Laluan Sutera ini paling dirai dunia dan mendapat perhatian masyarakat kerana nilai persahabatan dan bantu-membantu yang ditonjolkan oleh kuasa besar ini tanpa berbelah-bahagi.
Kesimpulannya, sukar untuk menolak China sebagai pemain utama dalam isu global. Samada suratan atau konspirasi, Covid19 lah pembuka solidariti China dengan dunia - melangkaui batas fahaman politik, peruntukan undang-undang dan kuasa ekonomi.

Dr Amalina Ahmad Tajudin merupakan pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Belt and Road Initiative #COVID-19 #Donald Trump #Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China #Jaluran Kesihatan Laluan Sutera China #koronavirus #Mahathir Mohamad #virus China #Wisma Putra #Xi Jinping
;