COVID-19: Jabatan Kesihatan Kelantan ambil kakitangan kontrak susulan peningkatan kes
Muhafandi Muhamad
Mei 6, 2021 07:36 MYT
Mei 6, 2021 07:36 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan terpaksa mengambil kakitangan kontrak bagi menampung keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Hussin berkata kos perubatan juga dijangka meningkat dengan pertambahan kes COVID-19 di Kelantan.
"Kerajaan telah ambil pegawai perubatan kontrak, ambil balik misi (jururawat) kontrak.
"Jadi kita tengok kos perubatan akan meningkat dengan drastik," kata Dr Izani.
Kelantan merekodkan 45 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding tujuh kematian sepanjang tahun lepas.
Dr Izani menjelaskan setakat ini enam PKRC yang ada sudah mencapai 80 peratus kapasiti.
Dalam pada itu, standard prosedur operasi (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) kali ini diperketatkan antaranya membenarkan hanya dua orang penumpang dalam sebuah kereta.
Selain itu, hanya 30 peratus kakitangan awam dan swasta dibenarkan bekerja di pejabat bermula Ahad ini.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam pada itu membenarkan solat sunat tarawih, fardu dan Jumaat di masjid bandar, negeri dan jajahan tidak melebihi 70 peratus kapasiti dan penjarakan dua meter berkuat kuasa serta merta.
#COVID-19
#sumber manusia
#fasiliti kesihatan
#PKRC
#Izani Hussin
#Jabatan Kesihatan Kelantan
#kakitangan kontrak
#kos perubatan