COVID-19: Isu pengendalian jenazah akan diselesaikan - Dr Noor Hisham
Astro Awani
Julai 20, 2021 06:47 MYT
Julai 20, 2021 06:47 MYT
KUALA LUMPUR: Segala permasalahan dan isu berkaitan pengendalian jenazah COVID-19 akan diangkat dan diselesaikan dengan segera, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ia bagi memudahkan urusan petugas kesihatan untuk menyempurnakan tanggungjawab terakhir kepada pesakit COVID-19 dan waris terlibat, katanya.
"Segala permasalahan dan isu-isu berhubung pengendalian jenazah-jenazah COVID-19 ini akan diangkat dan diselesaikan dengan segera bagi memudahkan urusan petugas-petugas untuk menyempurnakan tanggungjawab terakhir kepada pesakit-pesakit COVID-19 dan waris-waris.
"Pelan kontigensi juga sedang dirangka sekiranya situasi menjadi lebih buruk di ibukota ini dan lima buah kontena yang boleh menampung sebanyak 225 jenazah tidak dapat memenuhi keperluan kes-kes kematian COVID-19 kelak," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Dr Noor Hisham meninjau pengoperasian Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, penubuhan PUSUM HKL adalah langkah perlu untuk menambah kapasiti penyimpanan mayat dan kemudiannya memudahkan penjadualan pengkebumian dan penentuan lokasi kubur atau kremasi.
"Pengurusan secara teratur ini penting kerana bilangan tanah kubur dan krematorium yang terhad di Lembah Klang," tambahnya.
Pusat tersebut dibina sejak 17 Julai lalu di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pelan kontigensi juga sedang dirangka sekiranya situasi menjadi lebih buruk dan lima kontena yang boleh menampung 225 jenazah tidak dapat memenuhi keperluan kes-kes kematian COVID-19 kelak.
Untuk rekod, sehingga 19 Julai lalu, seramai 7,148 mangsa telah terkorban akibat penyakit COVID-19 dan daripada jumlah tersebut, seramai 6,677 orang telah meninggal dunia tahun ini.
Dr Noor Hisham turut menggesa agar kerjasama erat terjalin antara agensi-agensi terlibat kerana ia sangat penting bagi memastikan jenazah diurus dengan beretika, mulia dan penuh penghormatan, terutamanya ketika negara menghadapi musibah pandemik COVID-19 ini.
#pandemik
#COVID-19
#Noor Hisham Abdullah
#petugas kesihatan
#Klang
#Kuala Lumpur
#mayat
#Hospital
#jenazah
#kubur
#krematorium
#PUSUM
#HKL
#pengurusan jenazah
#pelan kontigensi