COVID-19: Islam tuntut umatnya jaga kesihatan, nyawa demi kesejahteraan agama
Firdaus Azil
Mei 11, 2020 20:24 MYT
Mei 11, 2020 20:24 MYT
Umat Islam diminta menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada sebarang ancaman penyakit, termasuk wabak COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, kemungkinan besar Islam itu sendiri tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
“Oleh kerana itu saya kira faktor keselamatan, faktor kesihatan itu harus diutamakan kerana itu juga sebahagian daripada Maqasid Syariah, matlamat syariah itu diturunkan.
“Jadi saya rasa ini bentuk pemikiran baru yang harus ada dalam pemikiran seluruh umat Islam, bahawasanya keselamatan diri nyawa kesihatan itu juga merupakan sebahagian daripada tuntutan agama terutama sekali dalam keadaan suasana kita yang agak mencengkam pada hari ini,” katanya lagi.
Mohd Farid berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin Awani melalui aplikasi Skype, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, sememangnya tidak dapat dinafikan majoriti umat Islam di negara ini ingin kembali menjalani ibadah sebelum COVID-19 melanda, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seperti solat secara berjemaah di masjid dan surau.
Namun, jelasnya lagi, mahu tidak mahu umat Islam harus menerima norma baharu ini, bekerja dalam kebiasaan yang baharu, dan hidup dan beribadat dalam keadaan yang baharu ini.
“Selagi COVID-19 ini tidak dapat dihapuskan secara menyeluruh, saya kira kita kena bersedia dengan budaya dan juga kebiasaan yang baharu, terutama sekali berdasarkan SOP yang telah disediakan oleh pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) misalnya, dan juga mengikut tatacara negeri masing-masing.
“Itu tidak bermakna kita tidak dapat memanfaatkan rumah kita, tempat kita tinggal untuk kita menambah, atau memaksimakan fadilat Ramadan, fadilat ibadat yang kita lakukan setiap hari,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Farid berkata, ancaman COVID-19 di negara ini sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri, termasuk bagaimana ia menerapkan nilai displin yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Salah satu daripadanya ialah kita mendisplinkan diri kita kerana dengan berlakunya serangan COVID-19 ini, kita secara dipaksa terpaksa menyusun kehidupan kita dengan lebih ketat, dan kita lakukannya dengan lebih baik lagi kualiti kita.
“Dan keduanya ia juga mengajar dan menguji fadilat kesabaran kita. Itu juga salah satu sifat murni dalam Islam, bagaimana kita pada masa sama bersikap redha terhadap apa yang berlaku, sebahagian daripada takdir Tuhan, tetapi kita juga punyai ikhtiar dan usaha yang begitu tinggi untuk menjauhkan diri kita daripada penyakit yang datang itu,” katanya lagi.
#Astro Awani
#COVID-19
#Dr Mohd Farid
#Dr Mohd Farid Mohd Shahran
#IKIM
#Institus Kemajuan Islam Malaysia
#JAKIM
#kesihatan
#politik
#rakyat Malaysia
#Ramadan
#SOP
#syariah