COVID-19: Ini kriteria dan langkah pengasingan diri di tempat kediaman

Astro Awani
Januari 18, 2021 12:24 MYT
KKM juga menasihati agar mana-mana individu yang telah dimaklumkan positif COVID-19 untuk sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengurusan kes yang telah disahkan positif COVID-19 boleh dilaksanakan di tempat kediaman berdasarkan penilaian awal yang dijalankan oleh petugas kesihatan COVID-19 Assessment Centre (CAC).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, sejajar dengan perkembangan maklumat terkini yang diperolehi mengenai COVID-19 sama ada di Malaysia atau di peringkat global, KKM sentiasa mengemas kini pengurusan kes COVID-19 di dalam negara.
Kriteria kes positif COVID-19 yang dipertimbangkan untuk pengasingan diri di tempat kediaman adalah seperti berikut:
a. Tidak mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan;
b. Bukan daripada golongan berisiko tinggi, contohnya warga emas dan pesakit kronik;
c. Mempunyai penjaga yang sesuai;
d. Kesesuaian tempat kediaman bagi tujuan pengasingan diri.
KKM juga menasihati agar mana-mana individu yang telah dimaklumkan positif COVID-19 untuk sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa.
Justeru, berikut adalah 10 langkah-langkah yang perlu diambil oleh kes positif COVID-19 yang berada di rumah:
a. Duduk di bilik yang berasingan daripada penghuni yang lain. Sebaik-baiknya bilik tersebut mempunyai kemudahan bilik air. Jika terpaksa berkongsi bilik air, bersihkan permukaan yang disentuh seperti tombol pintu, pili air, dan peralatan lain setiap kali selepas digunakan;
b. Elakkan interaksi secara bersemuka dengan penghuni yang lain. Sekiranya tidak dapat dielakkan, pastikan kedua-dua pihak memakai pelitup muka;
c. Laporkan status kesihatan terkini kepada petugas kesihatan atau melalui aplikasi MySejahtera setiap hari;
d. Jika gejala bertambah teruk, hubungi COVID-19 Assessment Centre (CAC) atau Klinik Kesihatan yang
terdekat atau hubungi talian 999 bagi kes kecemasan;
e. Kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer;
f. Amalkan etika batuk yang betul iaitu menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk atau bersin;
g. Buang tisu dan pelitup muka yang telah digunakan ke dalam bungkusan yang diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah serta segera mencuci tangan;
h. Cuci peralatan yang digunakan untuk makan dan minum sebelum digunakan semula;
i. Pastikan pengudaraan rumah yang baik dengan membuka tingkap;
j. Tidak menerima pelawat.
BACA: COVID-19: 3,306 kes baharu, 4 lagi kematian
BACA: COVID-19: Sembilan lagi kluster baharu dikenal pasti
Dalam pada itu, kata Dr Noor Hisham, kontak rapat kepada kes positif perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti yang diamalkan sebelum ini dan keutamaan untuk menjalani ujian swab
COVID-19 diberikan kepada mereka yang bergejala.
Ini berikutan kemungkinan ujian swab COVID-19 tidak dapat dijalankan untuk semua kontak rapat khususnya di sesetengah daerah atau negeri yang mempunyai bebanan kes yang amat tinggi.
Penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain.
Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan adalah
sangat rendah selepas tempoh tersebut.
#pengasingan diri #kuarantin #COVID-19 #kontak rapat #Kes #kes positif #Malaysia #KKM #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan