COVID-19: Infovax bakal hapus keraguan, kebimbangan berkaitan vaksinasi

Bernama
Februari 11, 2021 23:58 MYT
Keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sering menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sering menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya sebelum negara menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada akhir bulan ini.
Susulan itu, Malaysian Medical Association Public Health Society (MMA PHS) telah mengeluarkan 'Infovax', satu siri maklumat bagi mendidik dan menyedarkan masyarakat berkaitan vaksin COVID-19 dalam usaha mengatasi keraguan serta kebimbangan semua pihak.
Pengurus Besar merangkap Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M. Murallitharan berkata terdapat banyak keraguan dan kebimbangan dalam kalangan kumpulan individu itu sendiri, ahli keluarga, rakan malah golongan profesional kesihatan sama ada vaksin itu benar-benar selamat dan berkesan.
"Jadi kedua-duanya (keselamatan dan keberkesanan) merupakan kebimbangan terbesar dalam masyarakat. Itulah masalahnya kerana kebanyakan kita bergantung harap kepada vaksin ini agar ia benar-benar berkesan untuk meredakan pandemik itu dan kemudian secara perlahan-lahan, kita boleh kembali menjalani hidup seperti biasa.
"Sekiranya ramai yang tidak akan mengambil vaksin ini, maka kita akan berdepan cabaran besar dalam usaha mengakhiri pandemik COVID-19, itulah sebabnya kami mengusahakan inisiatif Infovax ini," katanya ketika ditemu bual dalam program Mid Day Update Bernama TV hari ini.
Murallitharan berkata Infovax adalah projek yang sedang berjalan di sebuah portal berita dan akan diperluas tidak lama lagi dari segi bahan yang akan dikongsi dengan orang ramai dalam pelbagai bahasa serta memulakan sesi secara dalam talian di Facebook.
Beliau turut menjelaskan bahawa sememangnya terdapat manfaat dan risiko bagi semua jenis ubat serta vaksin.
Katanya sebagai contoh, ramai yang mengambil ubat seperti paracetamol setiap hari namun ia akan menyebabkan alergi kepada sesetengah orang dan mungkin juga ada yang berdepan alergi teruk.
"Begitu juga dengan setiap ubat dan vaksin, akan ada sekumpulan individu yang alergi terhadap vaksin ini dan bagi mereka, kami sudah memiliki sejarah alergi itu dan kami akan berhati-hati ketika memberikan vaksin kepada golongan ini," katanya.
Pada 4 Feb lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada akhir bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan 80 peratus penduduk di negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.
Fasa pertama, yang bermula Februari hingga April, ialah untuk 500,000 petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi COVID-19 manakala fasa kedua, iaitu dari April hingga Ogos, ialah untuk kumpulan berisiko tinggi yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, serta golongan kurang upaya.
Fasa ketiga pula, yang bermula dari Mei tahun ini dan berakhir pada Februari 2022, ialah untuk golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.
-- BERNAMA
#Infovax #vaksin #COVID-19 #Pfizer-BioNTech #Malaysian Medical Association Public Health Society
;