COVID-19: Indonesia mansuh arahan kuarantin terhadap pelancong
Astro Awani
Mac 22, 2022 10:15 MYT
Mac 22, 2022 10:15 MYT
JAKARTA: Indonesia memansuhkan keperluan kuarantin bagi semua pengembara yang tiba di negara itu.
Menteri Pelancongan, Sandiaga Uno mengumumkan perkara tersebut sebagai sebahagian daripada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di negara itu.
Keputusan tersebut akan berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan tersebut juga menyusul susulan kejayaan tiada keperluan kuarantin yang dilaksanakan bulan ini terhadap mereka yang sudah divaksinasi di kepulauan Bali, Batam dan Bintan.
Bagaimanapun, dengan pemansuhan itu, ujian saringan masih perlu dilakukan.
Langkah sama diumumkan oleh negara serantau seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja baru-baru ini.
Sandiaga turut memaklumkan perincian lanjut peraturan terbaharu itu akan diterbitkan pada Selasa.
Pada masa sama, pihaknya optimis sasaran 1.8 juta hingga 3.6 juta pelancong tahun ini akan tercapai.