COVID-19: Individu lengkap vaksin dibenar masuk Sabah tanpa ujian saringan mulai 1 Disember

Eleanor Michelle Patrick
November 20, 2021 16:07 MYT
Jelas Hajiji,Sabah telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah untuk segmen domestik dan antarabangsa bagi menambah baik promosi pelancongan, termasuk peralihan pasaran semasa pandemik COVID-19. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sabah membenarkan kemasukan individu yang divaksin sepenuhnya tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19, mulai 1 Disember.
Jelas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah bersedia sepenuhnya untuk mengalu-alukan ketibaan antarabangsa sebaik sahaja Malaysia membuka semula sempadannya bermula tahun depan.
“Sehingga November 2021, sudah ada 266 penerbangan terus mingguan ke Sabah dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan, dan Sarawak, dengan jumlah kapasiti 43,000 tempat duduk.
“Bagi penerbangan dalam negeri Sabah, terdapat 123 penerbangan mingguan dengan jumlah kapasiti 16,720 tempat duduk yang menghubungkan Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran MATTA Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif; Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang.
Sementara itu, Sabah telah membuka 12 gerai pameran bagi mempamerkan produk pelancongannya setelah dipilih sebagai "Destinasi Kegemaran Malaysia" buat kali ketiga, selepas 2015 dan 2019.
Hajiji berkata, mengenai kemudahan penginapan, ia adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan, dengan tambahan 3,506 bilik yang dijangka siap tersedia dengan siapnya 11 pembangunan hotel baharu pada 2022.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah untuk segmen domestik dan antarabangsa bagi menambah baik promosi pelancongan, termasuk peralihan pasaran semasa pandemik COVID-19.
Menurutnya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah bekerjasama dengan penggiat industri pelancongan untuk mengadakan penglibatan maya, ekspo pelancongan, promosi, dan latihan mengenai perkembangan destinasi pelancongan.
"Ini termasuk mewujudkan semula keyakinan pelancongan dan perdagangan melalui dengan negara seperti China, Korea, Norway, Indonesia, Brunei, India, Dubai, Itali, Kazakhstan dan Turki.
"STB juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan membantu mereka mewujudkan semula penerbangan terus untuk pengembara domestik dan antarabangsa," katanya.
Sebelum pandemik COVID-19, sektor pelancongan Sabah merekodkan ketibaan 4.1 juta pelancong dengan perolehan RM8.342 bilion dan RM12 juta cukai pelancongan pada 2019.
#COVID-19 #vaksinasi #Datuk Seri Hajiji Noor #sektor pelancongan
;