COVID-19: Individu dari kawasan PKPB dinasihat tidak ke tempat tumpuan di Pahang

Bernama
Oktober 14, 2020 20:00 MYT
Lokasi tumpuan itu termasuk tempat ibadat, kedai makan, pusat beli belah, pusat rekreasi selain majlis kenduri. -Gambar fail
KUANTAN: Individu dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang pulang ke Pahang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dinasihatkan tidak ke tempat tumpuan ramai sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, lokasi tumpuan itu meliputi tempat ibadat, kedai makan, pusat membeli-belah, pusat rekreasi dan kenduri, selain mereka terlibat juga diminta mengehadkan pergerakan semasa berada di Pahang.
"Mereka juga dinasihatkan untuk mengurangkan pergaulan dengan golongan berisiko tinggi seperti orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung, memandangkan terdapat banyak kes positif COVID-19 yang tidak mempunyai gejala.
"Bagi individu yang tempat kerjanya ditutup kerana terdapat kes positif, mereka perlu melaporkan hal itu kepada pejabat kesihatan daerah terdekat, bagi menjalani penilaian risiko dan saringan serta perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sallehuddin berkata kerajaan negeri juga menggalakkan individu yang pulang dari kawasan PKPB untuk menjalani ujian makmal, bagi mengesan virus COVID-19 di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta bagi mengetahui status diri mereka.
Mereka dari tiga kawasan tersebut juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, bagi membendung penularan wabak itu seperti menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan tidak bersalaman.
Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini hingga 27 Okt ini, bagi menyekat penularan wabak COVID-19.
Selain itu, Sallehuddin juga berkata, sebarang aktiviti berkumpulan yang melibatkan kehadiran melebihi 100 orang adalah tidak dibenarkan di lokaliti yang mempunyai kes positif.
-- BERNAMA
#PKPB #Selangor #Kuala Lumpur #Putrajaya #pulang ke Pahang #tempat ibadat #jangan kunjungi
;