COVID-19: ILIT bantah anjur karnival Deepavali
Aida Aziz
Oktober 15, 2021 19:07 MYT
Oktober 15, 2021 19:07 MYT
IPOH: Persatuan Peniaga-Peniaga Little India, Ipoh (ILIT) di sini membantah sebarang penganjuran karnival Deepavali di kawasan Little India, tahun ini.
Wakil persatuannya, S. Sandhya Sharma berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira risiko penularan COVID-19, seterusnya dibimbangi mewujudkan kluster baharu.
Tegasnya lagi, pihaknya telah menghantar surat permohonan pembatalan karnival dan pemasangan kanopi di kawasan tersebut kepada Pejabat Menteri Besar Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
"Dengan mengambil kira keadaan pandemik COVID-19 yang masih menular di merata tempat dalam negara, kami dari Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh berpendapat ianya tidak munasabah.
"Kami membantah sekeras-kerasnya terhadap sebarang perancangan untuk mengadakan karnival tahun ini.
"Di kalangan orang awam, masih ramai yang belum mendapat suntikan lengkap dua dos. Kami amat khuatir jika keadaan tidak dibendung dan dikawal ada kemungkinan kluster Little India wujud," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Ipoh pada Jumaat.
Yang turut hadir, Pengerusi ILIT, B. Kalyani dan ahli ILIT, Gurmeet Kaur.
Justeru mereka merayu kepada pihak berkenaan untuk memberi pertimbangan kepada permintaan itu.
"Pihak MBI khususnya tolong beri pertimbangan untuk tidak mengizinkan pemasangan kanopi dan pentas di kawasan Little India.
"Permintaan kami semata-mata untuk keselamatan dan kepentingan orang awam," katanya lagi.
Sementara itu, jurucakap MBI ketika dihubungi berkata pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung karnival tersebut.
"MBI belum memberi sebarang keputusan mengenai perkara ini, sebelum keputusan dibuat kita perlu mendengar kepada kedua-dua pihak.
"Kita jangka keputusan akan dibuat minggu depan," katanya.
Sebelum ini Little India sinonim dengan karnival dan kanopi ketika menjelang Deepavali.
Kanopi akan dipasang untuk peniaga runcit sepanjang Jalan Lahat iaitu dari Gerbang Little India hingga simpang Jalan Sultan Yusuf.
Pentas juga akan didirikan di kawasan tersebut untuk pertunjukan program kebudayaan masyarakat India bagi tempoh sebulan sehingga menjelang Deepavali.