COVID-19: Ibu Pejabat SKM ditutup dua hari untuk sanitasi
Astro Awani
Mei 25, 2021 15:11 MYT
Mei 25, 2021 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Operasi Ibu Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan cawangan Wilayah Persekutuan akan ditutup selama dua hari bermula pada 27 sehingga 28 Mei 2021 untuk proses sanitasi.
Dalam satu kenyataan, SKM memaklumkan, ia sebagai langkah-langkah pencegahan penularan pandemik COVID-19 di seluruh premis mereka di Changkat Semantan, Off Jalan Semantan, Bukit Damansara.
"Sepanjang tempoh penutupan, pelanggan masih boleh berurusan dengan SKM menerusi perkhidmatan atas talian seperti sistem aplikasi dalam talian (https://apponline.skm.gov.my), sistem INFOKOP SKM (https://infokop.skm.gov.my), sistem eKerjaya dan pengurusan sumber (https://ekerjaya.skm.gov.my) serta emel SKM (OWA) (https://webmail.skm.gov.my/owa).
"Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh diperolehi dari Pusat Panggilan Suruhanjaya Koperasi melalui aplikasi Whatsapp Hotline SKM di talian 019-2445339 atau emel webmaster@skm.gov.my untuk penjelasan lanjut," jelas kenyataan itu pada Selasa.
Pada Isnin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, sebanyak 83 operasi sanitasi dilakukan meliputi 49 zon merah, zon jingga (4), zon kuning (4) dan zon hijau (2) di seluruh negara.
Jelasnya, operasi sanitasi itu melibatkan 474 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 218 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 81 buah jentera JBPM.
Secara kumulatifnya, sebanyak 24,562 operasi sanitasi yang merangkumi 156 zon telah dilakukan sejak 30 Mac 2020.
Operasi sanitasi melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.