COVID-19: Hukum ditetapkan selaras pandangan tokoh ilmuwan Islam dunia - Zulkifli

Bernama
Januari 22, 2021 17:50 MYT
Kerajaan, kata Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin COVID-19. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam dalam negara, adalah selaras dengan pandangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan institusi-institusi fatwa dunia.
Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau turut mengambil inisiatif menulis surat kepada tokoh ilmuwan Islam dunia, bagi mendapatkan pandangan peribadi mereka dalam hal berkenaan.
Ini katanya, termasuk kepada Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu, Syeikh Abdullah Ben Bayyah dan anggota Majma' Fuqaha' al-Shari'ah Amerika Syarikat, Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily.
"Semuanya menjurus kepada perlunya vaksin dan pendapat ini juga saya terima dari MUI (Majlis Ulama Indonesia)," katanya dalam khutbah Jumaatnya di Surau Ar Rahman, Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.
Pada 23 Dis, Zulkifli mengumumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin itu.
Tegasnya juga, sesuatu hukum yang diputuskan tidak ada kena mengena untuk kepentingan peribadi, tetapi ia lebih bagi menyelesaikan permasalahan umum. - BERNAMA
BACA: Hukum ambil vaksin COVID-19 adalah harus - PM
#hukum vaksin COVID-19 #ilmuwan Islam #institusi fatwa dunia #hukum #vaksin #COVID-19 #Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
;