COVID-19: Huckleberry Damansara Heights sahkan pekerja positif
Isabelle Leong
Oktober 6, 2020 20:10 MYT
Oktober 6, 2020 20:10 MYT
KUALA LUMPUR: Restoran Huckleberry Damansara Heights di sini, mengesahkan seorang pembantu dapurnya dijangkiti COVID-19, sekali gus menyebabkan premis berkenaan ditutup sementara untuk proses disinfeksi hari ini.
Pihak pengurusannya, Huckleberry Hospitability Group memaklumkan pekerja tersebut tidak hadir bertugas dan tidak berjumpa dengan mana-mana rakan sekerja yang lain sejak 30 September lalu.
“Pada 1 Oktober, pekerja tersebut, yang merupakan warganegara Malaysia, tidak melaporkan diri di tempat kerja dan tidak dapat dihubungi.
“Pada hari ini (6 Oktober), pekerja tersebut menelefon pihak pengurusan dan memberitahu dia menjalani ujian saringan COVID-19 pada 3 Oktober dan disahkan positif jangkitan tersebut hari ini,” katanya menerusi satu entri di laman Instagram rasminya.
Berikutan itu, pengurusan restoran itu berkata Huckleberry Damansara Heights akan ditutup untuk proses disinfeksi dan pembersihan selain semua pekerja menjalani ujian saringan.
“Ini merupakan kali pertama kami berdepan dengan situasi sebegini di restoran kami dan kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan impak keadaan.
“Kami memohon kerjasama dan pemahaman anda. Kami akan terus membawakan maklumat terkini kepada anda,” tambahnya.
#Huckleberry Damansara Heights
#COVID-19
#Pekerja
#pembantu dapur
#Kementerian Kesihatan
#Huckleberry Hospitability Group